Berita Hari Ini

Tuesday, July 21, 2009

Mangsa ‘laluan tarik’

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my


KANGAR: Ada benda tarik. Itu ungkapan biasa daripada pemandu yang kemalangan di Jalan Lencongan Barat Timah Tasoh di Kampung Guar Jentik dekat sini, apabila mendakwa stereng kenderaan mereka ditarik sesuatu sehingga menyebabkan terbabas dalam petak sawah di kawasan itu.

Dalam kemalangan terbaru di kawasan itu pada jam 11 pagi semalam, seorang penumpang parah di kepala selepas kereta Proton Saga dinaikinya terbabas ke dalam petak sawah manakala dua lagi termasuk pemandu, Azizan Darus, cedera ringan.

Setakat ini, 18 kemalangan dilaporkan tahun ini termasuk tiga kes sepanjang Julai di kawasan itu sehingga menyebabkan laluan itu digelar ‘laluan tarik’ berikutan dakwaan sebahagian besar mangsa, stereng kenderaan mereka seolah-olah ditarik sesuatu sehingga kemalangan.

Azizan, 39, dari Kampung Guar Syed Alwi di sini berkata, dia bersama rakannya, Ibrahim Ismail, 47, dan bapa saudaranya dikenali Mahmud dalam perjalanan dari Kaki Bukit ke dusun di Sungai Batu Pahat di sini, untuk mengambil buah sebagai persiapan kenduri arwah bapanya.

“Apabila tiba di selekoh tajam ini, stereng kenderaan seolah-olah ditarik sesuatu ke sebelah kiri jalan. Saya cuba mengawalnya, tetapi tarikan semakin kuat hingga menyebabkan gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke dalam petak sawah.


“Kenderaan kami berpusing tiga kali dan saya tidak melepaskan stereng. Ketika itu, saya mendengar bapa saudara yang berada di tempat duduk belakang mengerang kesakitan dengan darah memenuhi mukanya.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu mengeluarkan kami yang tersepit dalam kereta dan menghantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, “ katanya.

Ibrahim pula berkata, dia berasa seolah-olah kepalanya mencecah pokok padi walaupun berada dalam kereta ketika kenderaan itu berpusing tiga kali dalam sawah.

“Ketika kejadian, hujan baru berhenti dan secara tiba-tiba kereta dipandu Azizan terbabas ke kiri sebelum terjunam ke dalam petak sawah. Saya hanya mampu mengucap (dua kalimah syahadah) ketika kereta berguling-guling di dalam sawah,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di kawasan itu mendapati beberapa kesan tompokan atau kawah dalam petak sawah berhampiran selekoh berkenaan berikutan kekerapan kemalangan.

Mei lalu, akhbar ini melaporkan penafian penduduk Kampung Guar Jentik mengenai dakwaan wujudnya mahkluk halus yang sering mengganggu pengguna jalan raya di situ, terutama selepas hujan hingga menyebabkan banyak kenderaan terbabas.

Peniaga, Dahli Saad, 36, berkata, sejak laluan itu dibuka kepada orang ramai kira-kira 10 tahun lalu, sudah banyak kemalangan berlaku di selekoh tajam di jalan lencongan berkenaan dengan tahun ini saja 18 kes termasuk kes terbaru semalam.

“Jelas ada sesuatu tidak kena dengan laluan ini,” katanya.

Minggu lalu, katanya, sebuah kenderaan Kia dipandu seorang lelaki yang baru pulang menghantar keluarga di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Tassoh, terbabas memasuki petak sawah ketika melalui selekoh berkenaan.

Timbalan Ketua Umno bahagian Padang Besar, Mohd Noor Aziz, yang berada di tempat kejadian meminta kerajaan negeri segera memasang besi penghadang di sebelah kiri jalan bagi mengelak kenderaan terus terbabas memasuki petak sawah.

----------------------------------------------------------------

Aku syak ni semua kerja jin jin yang diupah tow truck owner .Tetapi mungkin ada penjelasan dari bidang sains,maklumlah benda kekadang orang nak buat bagi suspen tetambah Metro yang terkenal dengan tajuk tajuk berita suspen.Negeri gua aman damai la!!! Jin manusia mendokong 1malaysia kot!!
Dari letak besi penghadang,baik repair jalan yang mungkin terlalu.Takpun letak signboard 'sila pegang stereng kuat kuat 100M' atau 'sila baca ayat kursi 100M' .Confirm semua ni tak berlaku lagi.Ada harapan aku jadi MB?

You Might Also Like

0 Rangsangan

Flickr Images