01 July 2009

Berita Hari Ini

Pensyarah mengaku tak salah ambil RM800 Dorongan lulus kertas Algorithm Analysis Universiti Multimedia

KLANG: Seorang pensyarah kanan di Universiti Multimedia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam, terhadap tuduhan menerima rasuah RM800 daripada seorang pelajar perempuan bagi menaikkan markah dan meluluskan peperiksaan, pada bulan lalu.

Tertuduh, Dr Krishna Prasad Pramulapati, 52, warga India, dituduh memperoleh wang berkenaan daripada pelajar Kumalini Devi Subramaniam, 24, sebagai dorongan untuk meluluskan kertas jawapan peperiksaan TCS 3211, Algorithm Analysis, pada 22 Jun lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bilik FIT BR 4020 Blok B, Fakulti Teknologi Informasi, Universiti Multimedia, Persiaran Multimedia, Cyberjaya, Sepang, pada jam 5 petang, 24 Jun lalu.

Krishna didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama iaitu penjara selama 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana satu lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abd Khairi menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh tetapi peguam Krishna, Arunan Selvaraj memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan tertuduh rakyat asing dan isterinya pula berasal dari Sri Lanka serta mereka tidak mempunyai keluarga di negara ini.

Hakim Yong Zarida Sazali membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan dua penjamin rakyat Malaysia dan menetapkan 3 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Dua rakan Dr Krishna dan menjadi penjamin kepada pensyarah berkenaan yang sudah dua tahun berkhidmat dengan universiti itu.

-----------------------------------------------------------------------------------

dah boleh boleh la aku start menabung...
Share:

0 Rangsangan: