Redah 3.0

Redah 3.0 : Sri Lanka - Day 6 Ella to Galle

Wednesday, October 25, 2017

Apabila matahari mula menyinari ufuk timur, baru aku dapat melihat suasana sekitar Hipster hideout dengan jelas.Hipster hideout terletak ditengah-tengah ladang teh dimana suasana keliling yang menghijau dengan daun-daun pokok teh. Ia diusahakan oleh 2 orang anak muda bernama Dilan dan Suhan. Baik dan ramah orangnya. Kata mereka ia baru dibuka tak sampai sebulan. Oh ya, tiada breakfast yang disediakan. 

Ella merupakan sebuah pekan kecil yang terkenal dengan ladang-ladang tehnya. Suasana dingin disini tak ubah seperti di Nuwara Eliya tetapi keadaannya lebih tenang. Pelancong yang mahukan lebih ketenangan selalunya memilih Ella berbanding Nuwara Eliya. Selain ladang teh, ada satu lagi tarikan disini iaitu puncak bukit yang dipanggil mini adam's peak. Dinamakan sedemikian kerana ia berbentuk seakan-akan adam peak tetapi lebih kecil dan mudah pendakiannya.

Kami check out pada pukul 6.30 pagi (suasana dah macam pukul 7.30pagi waktu Malaysia) dan terus menuju ke Mini Adam's peak yang terletak lebih kurang 7km aja dari Hipster Hideout. Budak Suhan beria ajak kami bergambar sebelum pergi sebab dia kata ni pertama kali guest dia datang naik tuktuk pandu sendiri. 

Parking Hipster Hideout yang 45 darjah curam
Laluan masuk ke Hipster Hideout..pada waktu malam super kelam
Tak susah pun nak jumpa starting point untuk panjat Mini Adam's Peak. Kami parking disebelah sebuah hotel dan terus menapak ke sana. Perjalanan melalui rumah penduduk kampung dan merentasi ladang teh. Sebenarnya memang mudah sangat pendakian ke puncak. Tak sampai 30 minit kami dah sampai. Kami sampai boleh dikatakan awal sebab baru ada 4-5 orang diatas sana. Kalau lewat agak semak sebab puncak dia tak besar mana.

Pendakian yang mudah tetapi dihadiahkan view yang begitu memukau SubhanAllah
Laluan yang bakal kami lalui sebentar nanti untuk menuju ke destinasi seterusnya
Kami melepak dalam 30 minit sahaja sebelum turun semula kerana masing-masing dah lapar. Di pekan Ella ni aku tak perasan pun kedai makan halal jadi kami singgah aja dikedai yang tampak bersih. Sewaktu tengah membelek menu di kedai 360 Ella, datang sorang mamat waiter mendekati kami dan bertanya "mau makan apa?" aku memula ingat yang aku silap dengar tapi rupanya memang mamat ni cakap bahasa Melayu. Haha. Excited sekejap sebab ada orang yang boleh berbahasa melayu di ceruk nun di Sri Lanka. Brader ni nama dia Amal, pernah 2 tahun bekerja di Malaysia. Lepas tamat permit dia balik dan kembali bekerja di kampung.

Pekan Ella
Ni brader Amal yang boleh berbahasa Melayu
Selepas menghilangkan dahaga dan mengisi perut dengan roti, kami ke kedai teh bersebelahan untuk membeli sedikit buah tangan untuk bawak pulang ke Malaysia. Disini specialty adalah teh. Tak ubah seperti di Cameron.

Terdapat pelbagai perisa teh disini
Kalau diikutkan jadual trip kami, perjalanan hari ini merupakan ride paling jauh yang kami perlu tempuh dalam satu hari kerana jarak Ella ke Galle adalah sejauh 230km. Ya. 230Km melalui pelbagai bentuk muka bumi dengan tuktuk berkelajuan maksimum 60km/h. Sebenarnya aku tak berharap sangat nak sampai Galle malam ni. Seakan sukar.



Laluan menurun yang kelihatan dari puncak sebentar tadi
Landskap gunung ganang mula bertukar kepada tanah landai selepas beberapa jam perjalanan. Cuaca pun dah mula panas. Seperti biasa kami melalui pekan dan kampung yang tipikal. Tipikal disini adalah jalan yang baik, persekitaran yang bersih, sejuk mata memandang. Kalau nak komplen pun hanyalah cuaca yang membahang dan kenderaan berat yang agak banyak.

Boleh tahan lenguh bila terlalu lama duduk dikerusi belakang

Melalui kawasan tasik

Berehat sebentar meluruskan kaki
Hari sudah hampir petang ketika kami sampai ke Hanbantota. Punyalah lapar waktu ni tapi disepanjang perjalanan tadi kami tak jumpa kedai makan Muslim. Bandar Hanbantota ni tak besar mana tapi cukup dengan masjid dan punya beberapa kedai makan Muslim. Kami berhenti untuk makan dan solat di Masjid berdekatan.

Pantai berhampiran pekan Hanbantota
Masjid di Hanbantota juga agak sama dengan masjid yang aku pergi sebelum ni, iaitu tandas agak tak terurus. Kami ambil turn solat sebab nak pastikan barangan didalam tuktuk selamat. Waktu solat aku ditegur oleh seorang pakcik yang bertanya datang dari mana. Selepas cakap orang Malaysia terus dia berbahasa Melayu.

Katanya dia keturunan Melayu Sri Lanka. Wow. Akhirnya berjumpa juga aku dengan orang Melayu sini. Tapi bahasa Melayu mereka sudah agak lain. Jadi percakapan kami tak sefasih ketika aku bercakap dengan brader Amal di Ella pagi tadi. Katanya ada satu perkampungan Melayu tak jauh dari sini. Teringin benar aku pergi tapi dek kerana arah perjalanan yang berbeza dari destinasi kami tuju ditambah Galle masih jauh, maka aku terpaksa memedamkan saja hasrat tu.

Pak cik berbangsa Melayu Sri Lanka
Kami masih ada separuh perjalanan iaitu kira-kira 120km untuk sampai ke Galle. Ketika hendak masuk ke jalan menuju ke Galle, kami agak terkejut melihat signboard highway. Setahu aku tuktuk tak boleh masuk highway. Aku dah cemas. Lepas belek google map aku dapati tiada jalan yang logik untuk tuktuk menuju ke Galle. Jadi aku kami reverse sedikit dan berhenti didepan sebuah pejabat yang kebetulan ada 2-3 orang brader tengah melepak isap rokok. Rupanya boleh saja nak naik highway tuh. Highwaynya agak cantik dan lapang. Tak jauh beza dengan Lebuhraya PLUS. Cuma agak mencabar emosi untuk memandu tuktuk yang berkelajuan maksimum 60km/h di jalan yang tampak lurus menuju ke horizon. Nasib baik AJ yang drive.

Highway 
Beberapa ketika kemudian kami mula melalui jalan di pesisiran pantai. Sebagai sebuah pulau, memang pantai di sini bersepah. Dalam menyusuri jalan, kami terjumpa satu pantai yang agak privacy bersebelahan sebuah hotel. Jalan masuk pun agak kecil dan perlu melalui semak samun. Plannya kami berdua nak bermandi manda namun terbantut apabila kami dihampiri seorang pak cik ni yang memberi nasihat agar jangan tinggal barang ditepi pantai kerana banyak kes curi di pantai. Akhirnya aku sorang yang mandi sebab AJ dah risau nak tinggal beg - beg kami.

merasa jugak mandi air lautan hindi
Senja mula melabuhkan tirai dan kami masih ada perjalanan berbaki 70km. Kalau dilihat pekan berdekatan memang nampak tak stim langsung nak singgah tidur. Lagipun kalau kami berehat disini, maka kami memang sudah tak punya extra day untuk berehat di Galle. Kami meneruskan perjalanan sejauh mungkin.

Layan sunset berlatar belakangkan lautan hindi
Sampai di bandar Matara, google map mengarahkan kami masuk ke highway yang tertera signboard tuktuk tidak dibenarkan. Sudah. Belek punya belek map rupanya ada lagi satu jalan untuk elakkan highway tapi kami sudah jauh menyimpang. Mahu tak mahu kami cari jalan shortcut untuk masuk ke jalan tersebut tanpa perlu jauh berpatah balik.

Jalan yang kami tempuhi agak ngeri, nak shortcut puny pasal kami masuk dalam kawasan perkampungan yang entah dimana. Lalu betul2 depan rumah orang dan ada satu ketika melalui kawasan sawah padi yang gelap gelita kelilingnya. Aku dah terbayang babak filem thriller. Haha. Tak lama kemudian kami kembali on track.

Kami melalui kawasan pantai yang tampak popular dan happening dengan pelancong asing dan juga punya banyak hotel dan motel. Kalau ada banyak masa memang aku akan berhenti disini tapi apakan daya. Kawasannya terletak melalui Matara Road dan kalau tengok dalam map ada banyak pantai seperti Wijaya Beach dan Unawatuna Beach.

Selepas berbincang atau sebenarnya lebih kepada bertengkar pada waktu ini..haha..maka kami pun bertekad meneruskan perjalanan terus ke Galle yang terletak lebih kurang 20Km lagi. Ikut hati aku memang dah penat dan hari pun dah malam, tuh yang sedikit emosi. AJ tetap slumber melayan karenah aku dah booked on the spot penginapan di Galle Center Home. Kami sampai lebih kurang pukul 9.30 malam di tempat penginapan dan menamatkan perjalanan seharian yang panjang.

# bercuti di sri lanka # pengembaraan di sri lanka # cuti cuti sri lanka # tuk tuk sri lanka # tips ke sri lanka


redah 4.0

Redah 4.0 : Day 3 Kathmandu - Pokhara

Saturday, June 10, 2017

Aku check out awal dari Hotel Gallery pada pukul 6.30 pagi sewaktu pekerja hotel masih bermuka mamai menyapu sampah di lobi hotel. Terdapat sedikit masalah sewaktu proses check out apabila rupanya nombor bilik yang aku check in bernamakan seorang Jepun. Ada gaya? haha.

Selesai check out terus aku dapatkan motor di parking dan mula memikirkan cara untuk meletakkan backpack aku di pelana belakang. Agak sukar memandangkan tak banyak point yang aku boleh gunakan untuk mencakuk tali pengikat. Lagi menambah sukar bila ada sekumpulan anjing jalanan turut menemani aku dengan penuh rasa ingin tahu.

Pasukan sorak yang memeriahkan acara perlepasan
Aku bergerak lebih kurang jam 7.00 pagi keluar dari Thamel dan menuju ke Pokhara, bandar ketiga terbesar di Nepal yang terletak lebih kurang 200km dari Kathmandu. Aku keluar awal hari ini kerana ingin mengelakkan kesesakan jalan raya tapi rupanya jalan raya sudah meriah dengan kenderaan dan orang ramai.

Baru beberapa minit menunggang mata aku sudah mula pedih bergemulang dengan debu-debu yang berterbangan. Tak pernah seumur hidup aku bergelumang dengan suasana berdebu sebegini. Aku cuba menggunakan google yang diberi bersama helmet motocross ni tapi tiap kali aku bernafas google jadi berwap. Nak tak nak aku hanya pakai spek.

Jem agak teruk sehingga ada satu masa aku turut sama terhenti kerana tiada ruang untuk bergerak apatah lagi menyelit. Namun ia mula beransur lancar sebaik memasuki Prithvi Highway. Apabila ternampak perkataan highway dalam map semalam, apa yang aku bayangkan adalah lebuhraya seperti di Malaysia tetapi ternyata meleset sama sekali.

Highway katanya...hmmm
Walaupun trafik mula berjalan lancar, jalan raya pula mula bertukar menjadi dari ok ke KO, berlopak sana sini. Aku fikir ni angkara kenderaan berat yang begitu banyak menggunakan laluan ini. Polis Trafik boleh dilihat ditepi tepi jalan menahan kenderaan berat untuk pemeriksaan dan tak memperdulikan kereta atau motosikal.

Lopak dimana mana
Selepas keluar dari pinggir bandar dan mula memasuki laluan berbukit, jalan kembali agak ok dan kenderaan mula sedikit lenggang. Aku memacu kenderaan memotong kenderaan berat yang seakan majoriti di jalan raya. Tak hairan memandangkan laluan ini merupakan laluan paling sibuk di Nepal yang menghubungkan dua bandar utama.

Tiada masalah untuk motor 220cc ini memotong kenderaan berat yang seakan tiada kesudahan namun apa yang aku perasan, pemandu kenderaan berat disini jauh lebih beradab dari Malaysia. Dengan membunyikan hon, mereka akan segera memberi laluan. Mula-mula aku agak blur kenapa ada lori yang selepas aku membunyikan hon mereka memberi lampu signal kanan . Aku ingat diaorang nak pedajal acah2 nak jugak memotong macam sesetengah kes di Malaysia, tapi rupanya itu salah satu signal kepada pemandu dibelakang yang "silalah memotong".


Laluan berbukit yang aku lalui mengigatkan aku pada jalan Gerik-Gua Musang cuma bezanya laluan ini melalui kampung-kampung dan pekan kecil. Selepas hampir 5 jam di jalanan, perut aku mula berkeroncong. Aku hanya makan biskut dan se-tin Redbull aja sejak pagi tadi sedangkan jam dah menunjukkan pukul 2.00 petang. Aku cuba mencari restoran makanan yang atleast bersih. Sebenarnya aku belum pernah berpengalaman makan di kedai makan bukan Muslim kerana sebelum ni aku travel di tempat yang mudah jumpa kedai makan Halal. Tapi di kawasan begini macam takda harapan nak jumpa kedai makan Halal kerana Muslim amat minoriti di Nepal.




Sebenarnya aku tak menjangkan cuaca panas sebegini tak ubah seperti di Malaysia sedangkan aku berseluar dan berbaju tebal kerana bajet cuaca sejuk di tanah tinggi. Selepas 9 jam perjalanan, aku tiba di bandar Pokhara pada pukul 4.00 petang.  Aku terus menuju ke Pejabat Tourism Board Nepal untuk memohon permit ACAP (Annapurna Conservation Area Project), iaitu permit untuk memasuki kawasan Konservarsi Annapurna. Proses hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit dengan kos Rs2000.

Nepal Tourism Board
Aku check in di Hotel Karuna yang terletak di area lakeside Pokhara. Agak terkubur plan aku untuk travel secara bajet. Selepas 9 jam perjalanan yang memenatkan, apa yang aku inginkan hanyalah bilik yang selesa.


Pada sebelah malam aku dinner di restoran makanan Halal Lazeez. Susah juga nak jumpa pada mulanya sebab lokasi didalam google map tidak tak tepat. Pekena chicken wrap untuk malam ni. Memang sedap.


# bercuti di nepal 2017 # bercuti di nepal # pengembaraan di nepal # percutian ke nepal # cuti cuti nepal # sewa motor nepal # tips ke nepal

redah 4.0

Redah 4.0 : Day 2 Kathmandu

Saturday, May 20, 2017


Aku solat Subuh dengan bertayamum pada pagi ni kerana air yang sangat sejuk. Dah macam ais. Suhu di Kathmandu pada waktu pagi adalah 16°C dan pada waktu tengahari akan mencecah sekitar 26°C. Subuh masuk awal disini iaitu sekitar pukul 4.40 pagi manakala breakfast adalah pada pukul 7.00 pagi. Terasa lama gila menunggu nak boleh breakfast.

Selepas breakfast di hotel, aku keluar merayap melihat suasana pagi. Hari sudah terang berderang tapi jalan masih lengang. Hanya kedai-kedai makan sarapan pagi yang dibuka, kedai dan pejabat disini kebanyakan beroperasi pada pukul 10.00 pagi. Selepas berjalan lebih kurang sejam, aku pulang semula ke hotel.

Suasana pagi di Kathmandu

Suasana jalan di sekitar Thamel

Terjumpa rakyat Malaysia

Jalan disini dipenuhi lorong-lorong. Dah macam maze.

Bagi yang tak tahu, Nasi Kandar di Malaysia diberi nama sedemikian kerana jurujual
zaman dulu yang menjual nasi tersebut secara menggandar.
Aku keluar semula pada pukul 10.30 pagi. Misi pertama adalah untuk mencari Ncell Store, untuk membeli simcard local. Ncell merupakan salah satu anak syarikat Axiata, maka mereka adalah adik beradik Celcom. Aku dah recce kedainya pagi tadi yang terletak 400 meter dari hotel.

Berbeza dari suasana pagi tadi, jalan sudah sibuk dengan manusia yang memulakan rutin harian. Selain dari kesibukan kota, jalan raya pun sudah mula berdebu. Suasana berdebu tak ubah seperti keadaan di tapak pembinaan. Sampai di Ncell Store hanya passport diperlukan untuk pendaftaran. Aku membayar Rs500 untuk simcard Ncell berserta plan data 1.2GB.

Pelancong sudah membanjiri jalan di Thamel

jalan yang sempit dan sibuk = serabut
Selesai satu hal, aku menapak pula ke City Motorbike di Jp Marg. Untuk Redah 4.0, aku akan menyewa motosikal selama 6 hari untuk meneroka bumi Nepal ini. Mulanya agak susah untuk berjumpa dengan kedai City Motorbike kerana ia terletak di satu lorong kecil. Kedudukan di dalam google map kurang tepat. Sampai di pejabat mereka, aku bertemu dengan seorang lelaki yang mana kurang fasih berbahasa inggeris. Oleh kerana sukar berkomunikasi, brader tuh pun baginya aku bercakap telefon dengan adiknya bernama Suzan. Suzan mintak aku datang semula petang ini. Aku tak booking awal motorsikal memandangkan banyak kedai sewa motor disini selain nak jimat kos dari melakukan wire transfer.

Memandangkan tiada apa-apa plan, aku sekadar menapak meneroka sekitar Thamel. Jalannya sempit, berdebu dan sesak dengan manusia dan kenderaan. Aku dah tak tahan dengan debu jadi aku singgah di kedai serbaneka untuk membeli penutup hidung. Disini tidak kelihatan 7Eleven, yang ada hanya kedai runcit. Ada la satu mini mart yang aku jumpa. Disitu ada banyak produk Malaysia dari Maggi hinggalah ke jajan. Sepertimana di Sri Lanka, banyak juga produk berlogo Vegeterian disini.


Thamel bagi aku merupakan syurga untuk membeli belah barangan hiking atau outdoor. Selain dari itu tak ada apa sangat melainkan tempat-tempat standard tumpuan pelancong seperti kedai cenderamata, tempat massage dan kedai-kedai makan selera antarabangsa.

Aku tak plan nak beli apa-apa barang lagi memandangkan masih banyak hari disini. Aku menapak ke Restoran Halal Al-Madina. Disini ada beberapa restoran Halal. Suhu 26c disini tak terasa sejuk pun ketika tengahari. Bagi aku tak ubah macam di Malaysia.

Sampai di Al-Madina aku order nasi half dan kari daging half. Memang ada portion half dalam menu. Agak bernasib baik kerana apabila sampai makanan yang diorder, half-nya dah macam full plate di Malaysia. Bagi aku kari kambing di sini memang “kick". Berdasar review katanya disini lebih kepada masakan Pakistan. Total makan berserta air lassy adalah Rs285. Lepas makan aku balik tidur seround. Ngantuk pulak kes bangun awal pagi tadi.

Nasi + Kari Kambing
Pukul 4 petang aku pergi semula ke City Motorbike. Berjumpalah dengan brader Suzan ni. Muda lagi orangnya. Dia bercerita proses sewa menyewa. Aku akan menyewa motosikal model Bajaj Pulsar 220f yang berharga Usd12 sehari. Banyak lagi motosikal yang ada tapi aku pilih yang mana sesuai dengan bajet dan lesen B2 aku. Mula-mula aku kurang senang untuk meletakkan passport sebagai deposit tetapi tiada pilihan sebab kalau tidak aku kena letak deposit duit senilai dengan harga sebuah motor iaitu RM8K. Gila.

Laluan masuk ke City Motorbike

Hari pun dah gelap saat motosikal aku ready untuk diambil

Tengah isi borang sewaan, ada satu couple mat salleh dari US datang untuk memulangkan motosikal yang mereka sewa selama 5 hari. Suzan bagitau yang couple ni baru balik dari tempat yang aku plan nak pergi iaitu Lower Mustang. Aku pun ambil kesempatan untuk bertanya tentang keadaan jalan dan tips dari mereka. Katanya tiada masalah walaupun tiada passport sebab mereka ada pengalaman ditahan Polis Nepal. Just tunjukkan salinan passport sudah memadai.

Selepas berborak aku menyerahkan bayaran dan membawa motorsikal pulang. Pertama kali menunggang di Thamel memang menyeksakan, dengan jalan yang sempit, orang ramai yang selamba berjalan ditengah jalan dan lorong yang bersimpang siur. Aku tersesat untuk beberapa ketika sebab hanya menunggang berdasarkan gambaran peta dalam kepala. Sampai hotel aku terus parking di parking berbayar dihadapan hotel yang bercaj Rs300 semalaman.

Sorang lagi rakyat Malaysia

Dinner pun di Al-Madina. Kebab.
# bercuti di nepal 2017 # bercuti di nepal # pengembaraan di nepal # percutian ke nepal # cuti cuti nepal # sewa motor nepal # tips ke nepal

redah 4.0

Redah 4.0 : Day 1 KL - Khatmandu

Saturday, May 20, 2017

Setiap kali pulang dari travel, selalunya kita akan kerap terkenang akan moments yang menarik ketika travel secara retrospektif. Perkara sama berlaku pada aku. Lebih parah bila dihujung minggu tanpa apa-apa aktiviti. Keseronokan mengembara melihat tempat baru dan budaya orang kerap membuak-buak ketika tengah kebosanand. 

Tak sampai sebulan seleps trip ke Sri Lanka, aku terbeli tiket ke Nepal ketika gatal-gatal tangan melihat tiket flight. Kenapa aku pilih  Nepal? hasil kajian secara cincai, aku dapati Nepal kena dengan ciri-ciri yang aku nak iaitu legal untuk menyewa motosikal dan paling penting tiket flight tak terlalu mahal.

Fast foward, pada 23hb April 2017 jam 2.00 petang aku sudah menuju ke Paradigm mall untuk menaiki aerobus ke KLIA. Trip kali ni aku buat secara solo memandangkan AJ, patner aku di trip lepas ada komitmen lain pada tarikh yang aku pilih. Untuk trip kali ini juga, aku hanya melakukan research sekitar 3 hari sebelum bertolak. Tuh pun cincai.

Flight Malindo OD 182 yang akan ke Khatmandu akan bergerak pada pukul 6.10 petang. Bagi yang membeli tiket aerobus secara online, diskaun Rm1 akan diberikan kepada harga tiket. Tetapi tiket perlu dibeli 24jam sebelum masa bertolak. Oh ya, Untuk trip Redah 4.0 ni aku menggunakan insurans perjalanan dari Etiqa Takaful yang dibuat secara online.

Majoriti penumpang Malindo Kul-Khatmandu adalah warga Nepal dan pelancong asing.
Warga Malaysia ada dalam 15-20 orang.
Segalanya berjalan lancar hari ini walaupun flight delayed sejam, aku tiba di Khatmandu pada pukul 9.30 Pm setelah perjalanan yang mengambil masa 4 jam 40 minit. Sungguh selesa bila dapat duduk di kerusi Row nombor 4 iaitu seat pertama di ruang ekonomi. Apa yang ‘special’ adalah seat ini mempunyai ruang kaki yang sedikit luas. Kalau naik Malindo boleh pilih seat secara percuma.

Tiba di Tribuvan International Airport Khatmandu, penumpang perlu menaiki bas untuk ke banggunan terminal. Cuaca agak sejuk pada malam itu, nasib baik aku dah standby sweater. Bagi rakyat Malaysia yang ingin ke Nepal, visa adalah wajib tapi yang mudahnya ia boleh dipohon secara On Arrival. Nak pohon di kedutaan Nepal di Malaysia pon boleh.

Aku memula agak terpinga-pinga untuk proses permohonan Visa On Arrival tapi jangan risau, follow aja flow orang lain. Step pertama ke kiosk permohonan visa dimana anda perlu masukkan maklumat peribadi sebelum mesin akan mengeluarkan salinan maklumat anda tadi. Bawa salinan ke kaunter pembayaran Visa, macam aku, aku akan berada di Nepal selama 9 hari jadi aku ambik visa yang paling minimum iaitu 15 hari dimana berharga usd $25. Selepas bayar bolehlah ke kaunter imigresen dan akhirnya welcome to Nepal. Proses memakan masa tak sampai 15minit. Sebelah kaunter pembayaran tu ada money changer. (kadar tukarannya tak jauh beza dari apa yang aku tukar di bandar Khatmandu dan Pokhara beberapa hari kemudian)

Aku menginap di kawasan Thamel sepanjang 2 hari di Khatmandu dimana aku syak hampir majoriti pelancong akan menginap dikawasan ituni. Aku menggunakan khidmat teksi airport walaupun ada pilihan teksi sapu dan bas yang lebih murah. Caj taxi airport adalah Rs800, itu dah termasuk surcaj lewat malam sebanyak Rs100. Aku menginap di Hotel Gallery, Z street, Thamel pada malam ini. Apa yang aku terpinga pinga adalah dari airport sehingga ke check in hotel mostly pekerja mereka boleh berbahasa Melayu dengan aku. Hah.
(Rs100 = RM4.40 ketika waktu aku ke Nepal)

# bercuti di nepal 2017 # bercuti di nepal # pengembaraan di nepal # percutian ke nepal # cuti cuti nepal # sewa motor nepal # tips ke nepal

Aku Punya Pasal

KITARAN NORMA KEHIDUPAN SUKU 2017

Wednesday, March 29, 2017

Aku tak pasti blogger lain macam mana, tapi bagi aku, salah satu tujuan aku berblogging adalah sekadar mencatatkan sedikit sebanyak peristiwa atau pengalaman yang dilalui oleh aku. Kaedahnya seolah seperti sebuah diari. Lama-lama sekali, aku suka membaca semula cerita-cerita lepas yang dikarang oleh aku bagi menggambarkan perasaan ketika itu.

Semalam aku terbaca semula catatan berkenaan rutin harian aku pada tahun 2014 iaitu di posting bertajuk "KITARAN NORMA KEHIDUPAN SEPARUH 2014" iaitu kira-kira 3 tahun yang lalu. Setelah sekian lama tak update serba sedikit berkenaan rutin aku, maka hari ini aku nak catatkan sedikit disini buat tatapan dimasa hadapan pulak.

Dari pembacaan aku dari posting aku 3 tahun yang lepas, banyak yang telah berubah dalam tempoh masa tersebut. Sekarang sudah mempunyai keluarga kecil, maka rutin harian boleh dikatakan 90% berubah. 

6.00 Pagi
Masih seperti dahulu, struggle nak lawan hasutan syaiton tuh masih sama. Jadi kadang-kadang menang, sampai lah ke masjid. Kalau kalah, sembahyang di rumah saja. Pukul 7.00 pagi dah terpacak diluar rumah meletakkan anak aku dibaby seat sebelum babai anak dan bini.

7.00 Pagi
Sudah hampir 2 tahun rutin aku pagi-pagi kena pergi ofis untuk uruskan pengeluaran senjata. Bagus jugak ada tugasan ni, atleast aku tak sambung membuta.

8.00 Pagi
Selalunya aku ke gym. Main gym pun dah tak seperti dahulu. Tak konsisten dan corak training pun dah berterabur memandangkan masa aku tak menentu. Ada time lapang dapat la ke gym 4 hari seminggu, kalau tak silap haribulan sebulan pun boleh jadi 4-5 kali ja ke sana. Ada hari aku suka mengayuh basikal di sawah. Masih merupakan tempat favourite aku seperti mana dalam posting lepas. Cuma sekarang aku susah sangat nak melepak diwaktu petang, jadi banyak dapat layan view sunrise.

10.00 Pagi
Masuk ofis. Macam biasa, sekarang tanggungjawab dah makin besar dan berat. Usaha kena lebih. Walau ada masa banyak main jugak. Tapi aku jenis kalau tak lakukan something yang produktif untuk hari tersebut, aku akan rasa bersalah pada diri sendiri seolah makan gaji buta. Bagus kan aku. haha.

1.00 Tengah hari
Aku selalu lunch tapau kedai ja dan selalunya aku makan sebelum pukul 1 sebab time pukul 1 tuh aku nak ke masjid solat zuhur. Betul la orang kata kalau dah terbiasa maka susah nak tinggalkan. Sekarang kalau solat Zuhur tak berjemaah rasa lain aja. 

6.00 Petang
Selain kena awal ke pejabat untuk keluarkan senjata, aku juga jadi orang terakhir balik sebab kena simpan semula senjata. Jadi boleh dikatankan masa yang paling aku suka sepanjang hari iaitu waktu petang sudah tak dapat dinikmati sepenuhnya. Sedih, tapi itu rezeki untuk syarikat. Walau macam mana pun, aku akan pastikan selepas setel kerja aku akan keluar bersama anak isteri samada jalan-jalan atau melakukan apa-apa aktiviti diluar. Maklumlah anak aku baru 1 tahun lebih dan sedang membesar, jadi aku nak dia terbuka sikit mata dan minda tengok dunia luar selepas seharian dirumah.

7.00 malam - 9.00 malam
Solat maghrib selalu jugak aku buat dirumah ja sebab dah keluar dari ofis pun dah pukul 6.00 petang takkan nak hang out sejam aja kan. Tuh yang selalu termissed berjemaah di Masjid. Rasa bersalah gak. Tapi Isyak aku masih tetap ke masjid, sama sebab macam aku kata di posting lepas. Kalau dulu lepas maghrib mesti layan Buletin Utama, tapi sekarang sejak zaman Najib ni aku dah tak bukak tv waktu cenggini. Ada hikmah gak kan. Leh gak mengaji Quran kalau rajin.

9.00 malam
Waktu ni selalunya aku dah mula rasa-rasa mengantuk. Bergantung pada hari, ada masa rajin aku akan kayuh basikal senaman dalam rumah habuan cardio. Kalau malas aku bersandar aja layan movie or dokumentari. Ada masa aku keluar melepak dengan member. Tapi sekarang member-member pun masing-masing dah ada komitmen selain ramai yang dah merantau. Kadang-kadang bosan sangat aku melepak aja sorang-sorang. Sadis gak kadang-kadang.

12.00 malam
Waktu ni dah dikira max la untuk aku tidur. Selalunya kalau taknak tidur pun mata dah berat tahap apa waktu ni. Rindu gak kadang-kadang zaman menjadi batman dulu di MMU. Apakan daya. Masa mengubah segalanya.

Begitulah serba sedikit akan rutin harian aku sekarang. Moga dimasa depan bila aku buat posting seterusnya, kehidupan akan menjadi lebih awesome or mungkin aku akan gelak semula bila fikir perbezaan kehidupan dulu dan sekarang.

Redah 3.0

Redah 3.0 : Sri Lanka - Day 5 Kandy to Ella

Sunday, March 19, 2017

Aku turun awal ke ruang makan hotel untuk breakfast. Sebenarnya aku ingat sarapan tersedia pada jam 7.00 pagi tapi rupanya pukul 7.30 pagi. Tapi disebabkan makanan dah nak hampir siap dihidang, pelayan hotel benarkan aja aku untuk rasmikan makanan. Takda orang lagi waktu ni. Sebenarnya tempat makan dia pun macam bilik dewan kecil aja. Makanan pulak takda la banyak, tipikal macam hidangan hotel Seri Malaysia walaupun katanya 4 bintang.

Anak itik keluar kandang..haha.. rombongan kemana-mana gamaknya.
Setel sarapan dan packing, kami pun turun mendapatkan tuktuk yang sudah puas berehat semalaman. Plan hari ni untuk ke Nuwara Eliya atau terus lajak ke Ella, bergantung kepada ketahanan bontot masing-masing kerana dari dari Kandy ke Eliya lebih kurang 80km manakala ke Nuwara Eliya dari Kandy lebih kurang 140km. Nuwara Eliya dan Ella ni merupakan tanah tinggi, so tak pasti bagaimana laluan muka bumi kami hari ini. 

 
Bangun oiii...

Apapun sebelum ke sana kami nak pusing lihat Bandar Kandy seround sebab AJ belum explore dan aku pun nak tengok gak suasana Kandy disiang hari. Bagi aku bandar Kandy ni biasa-biasa aja. Bandar Alor Setar atau Kuantan lagi maju dari Kandy ni. Puas pusing kami pun meneruskan perjalanan menghala ke Nuwara Eliya tepat jam 12.00 tengah hari. Satu permulaan yang agak lewat sebenarnya. By the way, aku jadi driver bertugas untuk hari ini.

Pemandangan Tasik Kandy. Ada sejarah disebalik tasik ni.

Berbunga bunga gaya brader ni cakap telepon

Suasana Kandy. Macam bandar lain, ada patung Buddha tinggi nun disana

Di Sri Lanka wine/beer kena beli di kedai khas. Macam bagus ja kalau buat macam ni di Malaysia. Terkawal sikit penjualan rasanya

Lagi suasana Kandy

Cari 2 buah rakyat Malaysia didalam gambar ni

Lagi suasana Kandy

Terjumpa lagi sebuah rakyat Malaysia
dan lagi suasana Kandy
Lepak minum dan tapau makan di Muslim Hotel Kandy. Pak cik ni tanya dari mana, kami cakap Malaysia. Terus tanpa banyak cakap dikasi soalan cepumas "how's your current prime minister?" Malu beb.

Sebenarnya aku ingat nak ke Nuwara Eliya melalui jalan Hanguranketa tapi co-pilot tak reti baca map maka tersilap lalu jalan ‘main road’. Jalan yang aku sebut tadi tuh kalau tengok dalam peta lebih kurang jalan kampung dan lebih berbengkang bengkok jadi aku assume pemandangan mungkin lebih menarik. Yang aku malas nak lalu main road sebab takut tiada suasana kampung-kampung dan silap haribulan sesak dengan kenderaan. Mungkin ada hikmah disitu maka kami teruskan aja perjalanan. 

Walaupun main road, sebenarnya jalan agak tenang dah menarik. Tak hairanlah berdasarkan tips di Tripadvisor pon ada orang puji jalan ni wajib dimasukkan dalam peta perjalanan. Suasana perjalanan ada la sedikit sebanyak seperti nak ke Cameron cuma literally melalui ladang-ladang teh yang menghijau.

Hijau..hijau..dan hijau...

Suasana jalan ke Nuwara Eliya
Sebenarnya salah satu lagi cara nak menikmati pemandangan ladang teh dan hutan tanah tinggi ke Nuwara Eliya ni adalah dengan mengambil train dari Kandy. Katanya one of the most beautiful train ridein the world. Sayang gak sebenarnya tak merasa pengalaman tuh but rasanya lagi rare tengok pemandangan disebalik cermin hadapan tuktuk.

Tak pandai aku nak gambarkan panjang-panjang perjalanan ke Nuwara Eliya dari Kandy, sekadar aku nasihatkan kalau sesiapa yang datang sini silalah lalu. 2 keping gambar diatas tak mengambarkan keseluruhan perjalanan yang bagi aku amat menarik.


Melalui sebuah masjid. Cantik sungguh view masjid ni.
Rehat sambil layan view di sebuah stopby tea shop. 
Dalam perjalanan, kami melalui Ramboda falls yang merupakan salah satu tarikan pelancong disini. Aku dan Aj dah seronok waktu ni bajet boleh mandi air terjun. Walaupun kami berada di tanah tinggi, tapi terik mentari macam takda beza pon. Panas semacam. Untuk ke Ramboda Falls perlu masuk melalui Ramboda Falls Hotel. Siap kena lalu cafe hotel, koridor bilik hotel bagai. Malangnya kami tak nampak langsung port mandi. 


Air pun tak banyak. Musim panas gamaknya. Air kering.

Aku bantai makan dalam satu pondok guard kosong ni. Tak lama kemudian masuk 2 orang polis. Rupanya ni pondok Polis. Polis muda sekor tuh buat muka bengang tengok aku makan dalam pos diaorang tapi superior dia cakap takpa2,Sila sambung makan sambil borak tanya asal mana. Mati2 aku ingat pondok terbiar.
Selepas makan tengahari nasi yang dibeli di Kandy tadi, kami pun meneruskan perjalanan. Bergerak sikit kedepan baru kami nampak kawasan air terjun yang ada orang bermandi manda. Hampeh. Memandangkan perut sudah kenyang, malas lah nak berkubang jadi kami teruskan aja perjalanan.

Pukul 4.30 petang kami pun sampai ke Nuwara Eliya.Suasana waktu ni dah terasa dingin, Mungkin dah tinggi kot kami mendaki tadi atau sebab dah petang. Melihat suasana pekan dan kedinginan disini, tak hairan bila aku terbaca disatu blog ni yang cakap suasana di Nuwara Eliya seperti suasana di Cameron Highland zaman 80-an. Pekan Nuwara Eliya ni tak besar mana dan kelihatan ramai pelancong asing disini. Sebenarnya sejarah Nuwara Eliya sama seperti Cameron Highland iaitu menjadi tempat pengawai Inggeris zaman dahulu untuk datang menyejukkan diri.


Pekan Nuwara Eliya

Rupanya maruku di Malaysia lagi power dari sini. Aneh.
Bila tengok jam yang baru nak masuk pukul 5 petang (sini suasana 5 petang bersamaan seperti 6 petang di Malaysia), terasa masih awal untuk settle down. Aku dan AJ bermusyawarah dan akhirnya kami memutuskan untuk meneruskan perjalanan ke Ella. Ella terletak 60km dari sini. Jadi kami gamble aja, kalau tak larat kami akan berhenti di mana-mana guesthouse dalam perjalanan nanti.

Tasik di Nuwara Eliya. Suasana dingin dengan pemandangan yang cantik. Kalau aku datang lagi ke Sri Lanka, wajib aku datang semula lawat tempat ni.
Azan Maghrib sudah berkumandang sewaktu kami tiba di Bandarawela yang terletak 15 Km lagi dari Ella. Kami singgah solat dan dinner disini sebelum meneruskan perjalanan. Dalam kepekatan malam, kami membelah kegelapan dalam menghabiskan saki baki perjalanan. Ewahh. Sebenarnya kami melalui jalan bandar, pekan dan kampung jadi walaupun malam takdalah ngeri. Bontot aku dah kebas time ni setelah memandu dari Kandy sejak pagi tadi.

Di Bandawarawela tadi AJ dah booking tempat bermalam kami di Ella iaitu Hipster Hideout. Jadi sekarang tetapan GPS kami menghala kesana. Cuma yang ngerinya kami dibawa masuk melalui satu kawasan ladang teh yang gelap gelita. Lepas melalui ladang teh, masuk pulak lorong kecik jalan tanah merah yang mana kiri kanan hanya hutan. Aku dan AJ dah pelik semacam. Nama Hipster tapi apa jadah dalam hutan benar.


Aku dah terbayang babak dalam movie bergenre Thriller waktu ni
Selepas 3 km membelah hutan barulah jumpa tanda-tanda kewujudan satu kampung. Memang dalam lah. Sekali tengok macam port hippies pon ada. Apapun janji bilik bersih. Kami check in dan black out.


# bercuti di sri lanka # pengembaraan di sri lanka # cuti cuti sri lanka # tuk tuk sri lanka # tips ke sri lanka


Flickr Images