Pelajar maut ketika ke masjid
PADANG BESAR: Seorang pelajar, Ahmad Syamil Azmi, maut apabila basikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Paya di sini hari ini.
Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Suleiman, Tunjong, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, Insp Azlizah Khairul Abdul Kadir, berkata nahas berlaku pada jam 1.10 petang di Kilometer 8, Jalan Kangar-Padang Besar.
"Ahmad Syamil sedang melintas jalan untuk ke masjid semasa dirempuh kenderaan yang dipercayai datang dari arah Kangar menghala Padang Besar itu," katanya.
Azlizah Khairul berkata, pemandu kereta terbabit, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, ibu mangsa, Hamidah Abd Rahman, 52, ketika ditemui berkata sebelum kejadian anak bongsunya itu tergesa-gesa pulang dari sekolah dan terus mandi untuk ke masjid.
Ibu kepada lima anak itu berkata, Ahmad Syamil memberitahunya akan pulang lewat dari masjid kerana ingin menemui rakan-rakannya. - Bernama
2 peragut maut
SHAH ALAM: Dua beradik maut apabila motosikal mereka merempuh belakang sebuah teksi ketika cuba melarikan diri selepas meragut beg tangan seorang eksekutif wanita di persimpangan lampu isyarat Persiaran Kerjaya, Glenmarie di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3.45 petang, dua beradik berusia 25 dan 30 tahun itu memecahkan cermin kiri Mercedes-Benz wanita berkenaan dan melarikan beg tangan mangsa ketika kereta itu berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Bagaimanapun, Junaili Abdul Hamid, 43, bertindak nekad mengejar peragut terbabit dan ketika cuba melarikan diri, motosikal dua beradik itu merempuh belakang sebuah teksi di persimpangan Jalan Batu Tiga Lama.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata seorang peragut terbabit cedera parah selepas terperosok di bawah teksi dan meninggal dunia setibanya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Adik peragut terbabit pula terpelanting dan cuba melarikan diri dalam keadaan terhoyong-hayang serta badan berlumuran darah, tetapi rebah dan meninggal dunia kira-kira 50 meter dari tempat kemalangan.
KERETA yang dipandu mangsa terbabas dan terlanggar sebuah van selepas mengejar dua peragut, semalam.
Ketika ditemui pemberita, Noor Azam berkata, peragut yang meninggal dunia di tempat kejadian itu juga mungkin diserang asma kerana polis menemui alat bantuan pernafasan di tangannya.
Beliau berkata, kereta yang dipandu wanita itu turut melanggar sebuah van menyebabkan bahagian tayar di sebelah kanannya remuk, tetapi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Beg tangan wanita berkenaan ditemui semula di tempat kejadian dan mangsa sudah membuat laporan polis," katanya. Dua beradik itu berasal dari Tali Air 3, Sungai Burung, Sekinchan.
Sementara itu, suami mangsa, Sheikh Feisal Sheikh Mohamed, 43, berkata beliau bergegas ke tempat kejadian dari pejabatnya di Petaling Jaya sebaik dihubungi isterinya.
Beliau berkata, isterinya memandu seorang diri dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Seksyen 13 di sini dari tempat kerjanya di Sungei Way.
Ahli perniagaan itu bersyukur kerana isterinya terselamat, walaupun keretanya rosak selepas cermin tingkapnya dipecahkan peragut terbabit sebelum terlanggar sebuah van.
-------------------------------------------------------------------------
agak agak apa perasaan mak bapak mereka mendengar khabar berita ?
apa yang orang akan kenang selepas mereka mati ?
semoga roh kanak kanak itu Dicuhcuri Rahmat