25 January 2017

Redah 3.0 : Sri Lanka - Day 2 Colombo

Hari ke-2 kami mulakan dengan misi mencari simcard local. Kami dapatkan simcard local dari kedai runcit yang berdekatan. Kat sini ada lima pembekal servis perkhidmatan telekomunikasi kalau tak silap. Memandangkan yang femes adalah Dialog dan Mobitel, AJ pun pilih Dialog iaitu anak syarikat AXIATA manakala aku saja test Mobitel. Harga simcard aku beserta pakej internet 1.7GB siang dan 2GB malam adalah rp700.

Kebetulan tak jauh dari kedai runcit ada money changer, maka kami pun pakat tukar duit masing-masing. Money Changer di Negombo Beach ni turut menerima Ringgit Malaysia tapi aku tukar menggunakan US Dollar yang awal-awal aku dah tukar di Malaysia.

Suasana jalan di Negombo Beach
Penginapan kami tidak disertakan bersama breakfast, jadi misi seterusnya mencari kedai makan. Kalau diikutkan google map ada masjid berdekatan tapi selepas sampai di masjid, kami dapati takda pun kedai makan muslim berdekatan. Dengan bantuan seorang pak cik di masjid, ditahankan kami tuktuk dan dimaklumkan pemandu tuktuk untuk bawak kami ke restoran makanan Halal.

Seperti yang aku sudah sedia maklum dari pembacaan blog mereka - mereka yang telah berkunjung ke Sri Lanka, drebar tuk tuk selalunya akan promote pekhidmatan mereka untuk servis tour atau akan promote-kan servis tour orang lain dimana mereka dapat komisen. Semuanya kami tolak dengan alasan belum bersarapan sedangkan sekarang dah pukul 12.00 tengah hari.

Tuk tuk ride pertama dan terakhir bersama driver di Sri Lanka
Kami minta pak cik tuk tuk ni bawak kami ke restoran yang berdekatan dengan stesen bas, jadi nanti senang kami nak naik bas sebab plan nak ke Colombo selepas makan. Kami dibawa ke Restoran Raheemiya Hotel & Bakery. (sini hotel bermaksud restoran)

Brayani Chiken, Rp350 aka RM10. Brayani Malaysia win lagi cuma portion boleh makan untuk 2 orang.
Sudah makan, kami pun keluar nak menapak ke stesen bas yang terletak tak sampai 50 meter dari restoran. Kebetulan, time baru keluar ada sebuah bas yang sedang bergerak nak ke Colombo, jadi kami terus tahan dan naik. 

Terasa suasana 70-an. Terdapat 2 jenis bas di sini. Satu bas kerajaan yang macam kami naik ni dan satu lagi bas syarikat swasta yang mempunyai aircond.




Perjalanan mengambil masa lebih kurang sejam dari Negombo ke Colombo. Kami bernasib baik dapat duduk disepanjang perjalanan sebab kalau waktu puncak, memang ada yang terpaksa berdiri. Angin sepoi-sepoi membuatkan mata terasa berat tambahan lepas pekena sepinggan brayani.

Kami hanya tahu kata sudah sampai di Colombo selepas melihat semua penumpang turun dan konduktor datang bagi isyarat sudah sampai. Bukan apa, tak nampak pun stesen bas melainkan nampak banyak gak bas melepak kat tepi jalan. Jadi aku tak pasti samada ini adalah stesen bas utama Colombo atau apa.

Tempat kami diturunkan
Dari situ, kami panggil Uber untuk ke National Museum of Colombo. Sebenarnya kami pun takda plan sangat pun nak kemana mana di Colombo ni. Main petik aja kata nak ke muzium bila tiba sebentar tadi.  

Inilah National Museum of Colombo, dibuka sepanjang tahun kecuali cuti umum. Nak jadi cerita hari ni rupanya cuti umum. Adeh.
Memandangkan muzium tutup, kami menapak aja ke taman reakreasi berhadapan dengan muzium. Namanya Viharamahadewi Park. Ramai gak orang tempatan tengah melepak ditaman menikmati cuti FestivalPongal, Hari Menuai Tamil. Kat Malaysia pun disambut perayaan ni oleh orang Tamil.

Yang bekerluaga sibuk melayan karenah anak, yang bujang sibuk menung atau baring tidur, yang berpasangan pulak tengah sibuk memintal rambut pasangan atau bercumbu-cumbuan. Terkejut gak aku bila tengok diaorang slumber berpelakuan sebegitu di tempat awam.

Merendek

Bukan buah, bukan tanglung, tetapi kelawar. Spesies apa gue tak tahu
Sempat lelap 5 minit sebelum kena gigit semut
Lepas menghabiskan masa hampir 30 minit disini, AJ mengajak aku lepak ngeteh di Cafe berdekatan. Katanya cafe tuh ada tersenarai dalam laman TripAdvisor dengan rating yang bagus. Kebetulan cuaca pun tengah panas, sedap gak kalau dapat pekena air ais. Aku pun setuju. Cafe tuh terletak lebih kurang 400 meter dari Viharamahadewi Park.

Town house. Pejabat Majlis Perbandaran Colombo dan juga merupakan Pejabat Datuk Bandar. Terletak diseberang Taman.
Suasana sekitar Colombo 10. Bandar Colombo terbahagi kepada beberapa bahagian.
Cafe Coco Veranda ni terletak berdekatan kawasan yang agak elit dimana berhampiran pejabat - pejabat kedutaan. Maka tak hairanlah bila dicongak darab harga secawan kopi ais bermula dari Rm20 dan keatas. Errr... Sekurang-kurangnya lebih murah dari kopi airport Aj. Yang lepak situ pun muka-muka ada kerlas.

Kedai kopi orang ada - ada
Lepas minum kami dah takda idea nak kemana. Memang datang ke Colombo pun tak dirancang sebab pada awalnya bajet nak ke Colombo sewaktu hari-hari terakhir tapi disebabkan takut tak sempat, maka kami dahulukan.

Lepas tengok jam yang dah agak petang, kami decide untuk pulang ke Negombo. Tapi instead of naik bas, kami pilih balik dengan kereta api kali ni. Dengan khidmat Uber yang mudah dan efisen, kami berangkat ke stesen kereta api Fort Railway yang terletak lebih kurang 3 km dari sini.

Train bertolak pada pukul 5.15 petang, ada lagi 30 minit, kami menapak ke masjid berdekatan melalui Pettah Market.
Nampak seakan akan Jalan Tunku Abdul Rahman di Kelompo. Suasana lenggang sebab cuti.
Singgah sembahyang di Masjid Jamek Ul Alfar aka Masjid Merah
Agak kelam kabut jugak kami menapak ke stesen kereta api semula sebab masa ada lebih kurang 10 minit lagi sebelum bertolak. Tapi aku tak expect kereta api di Sri Lanka tepat masanya seperti di Jepun. Moga-moga.

Selamat tiba 5 minit sebelum waktu bertolak. Kami diberitahu penjaga stesen yang train ke Negombo di platform No.2 . Tiket train berharga 75rupee bersamaan Rm2.30.

Stesen kereta api sesak dengan orang ramai yang pulang dari kerja ditambah budak-budak sekolah yang turut baru pulang dari sekolah. Memula aku rasa bertuah sebab dapat duduk didalam train, tetapi tengah duduk menunggu train bergerak, kedengaran satu pengumuman dibuat dalam bahasa tempatan sebelum 98% penumpang kereta api di platform 2 turun menuju ke platform 3.

Memandangkan boleh dikatakan semua orang turun, kami pun buat-buat faham ikut serta menuju ke Platform 3. Waktu ni train baru tiba di platform 3. Sini boleh nampak standard negara maju atau negara kurang maju. Bukan main berebut nak naik gerabak sedangkan masih ramai penumpang yang nak turun.

5 minit kemudian train bergerak. Aku dan AJ ambil terpaksa berdiri sebab tempat duduk dah penuh. Tapi waktu ni keadaan masih terkawal. Takda la macam dalam tin sardin. Dalam dibuai angin sepoi-sepoi bahasa dari pintu train yang terbuka, masih timbul rasa sangsi disebabkan masih ada baki penumpang yang kekal berada dalam gerabak di Platform 2 tadi.

Lepas hampir 30 minit bergerak, aku pon bagi isyarat kepada AJ untuk turun di next station. Memang sah kami silap naik train selepas aku monitor pergerakan train dari google map. Adeh. Yang nasibnya, kami baru terlajak 2 stesyen dari arah yang sepatutnya.

Tersadai di Stesen Battuwata menanti train ke arah Colombo semula. Tapi kami hanya perlu turun di stesen Regama sebelum tukar semula naik train menuju ke Negombo. Ala-ala stesen transit.
Suasana train ke Negombo. Agak terkejut apabila aku dapati tiada bau hapak atau hamis. Sri Lankan wangi-wangi semua. Cuma wangi diaorang takda la sama flavour dengan wangi kita. Hehe.
Kebetulan ada pasar malam di stesen kereta api Negombo. Tiada apa menarik dimata aku.
Pekena dinner seround di Restoran Raheemiya. Ini namanya Chicken Kottu. Sebenarnya ala-ala Maggi Goreng. Pedas dan kena dengan lidah melayu.
Selepas dinner kami call uber dan pulang ke bilik. Berakhir hari kedua..... Bersambung

# bercuti di sri lanka # pengembaraan di sri lanka # cuti cuti sri lanka # tuk tuk sri lanka # tips ke sri lanka
Share:

22 January 2017

Redah 3.0 : Sri Lanka - Day 1 Negombo


Aku bertolak ke KLIA menaiki aerobus dari Paradigm Mall. Tak jauh dari rumah aku di Lembah Subang. Pukul 5 petang aku dah gerak sebab bajet nak lepak dengan AJ dulu di KLIA2 (tiket Malindo Air aku naik di KLIA manakala tiket Airasia Aj naik di KLIA2 ). Tiket bas aku beli online dan kalau tak silap aku beli online Rm11 berbanding Rm12 dikaunter. Apapun jauh lebih murah dari ERL yang berharga Rm55. Kalau nak beli online perlu dibeli 24 jam sebelum masa bertolak. Kalau tak, beli ja dikaunter.

Sampai KLIA2 aku pun call AJ tanya dimana sebelum AJ cakap dia pergi Cimb jap tukar kad bank. Aku pon ok kan aja dan suruh jumpa depan OldTown White Coffee. Lama gak aku tunggu Aj tak sampai2, jadi aku call Aj cakap yang aku nak ke Maybank kejap. Tak lama kemudian AJ call aku cakap dia ada Maybank tapi aku dimana. Aku pun cakap di Maybank tapi tak nampak lak budak AJ ni. Jadi atas firasat AJ ke Maybank yang lain, aku set suruh jumpa depan Oldtown semula.

Sampai kat Oldtown, aku call AJ tanya dimana. Dia jawab depan Oldtown. Aku pon cari sekeliling dan tak jumpa batang hidung budak AJ. Pulak. Aku pun try ingat mungkin ada Oldtown lain di KLIA2 ni tapi tak perasan langsung dimana. Ntah macam mana aku teringat nak tanya “Hang kat airport mana ni AJ” Dia jawab “KLIA”. Hampeh. Patut tak berjumpa. Dia kat Oldtown KLIA yang aku kat Oldtown KLIA2. Rupanya dia ada whatapps aku sebelum tuh cakap dia nak pergi KLIA kat aku.

Berapa kerat ja Malaysian
Aku berlepas dari KLIA pada pukul 11.40 malam selepas delay kira-kira sejam. AJ sudah berlepas 2 jam sebelum tu. Alhamdulillah rezeki dapat duduk di seat paling hadapan selepas ruangan business class dimana ruang kakinya lebih luas. Lagi best seat sebelah aku kosong jadi bertambah selesa perjalanan aku. Dalam flight ada 5-6 orang ja aku rasa Malaysian, yang lain majoritinya orang sana dan beberapa kerat mat salleh.

Antara dua kasta
Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 3jam 30 minit tak terasa dengan aku menghabiskan masa menonton filem Indon “ Ketika Tuhan Jatuh Cinta”. Best gak cerita indon ni. Boleh nampak beza kualiti jalan cerita filem dan skrip mereka berbanding filem Malaysia yang terlalu tipikal. Lagipun aku suka aktor dia yang turut berlakon filem Habibie & Ainun.

Jam 11.40 malam waktu tempatan (sini lewat 2jam 30minit dari Malaysia) aku pon tiba di Bandaranaike International Airport. Kesian AJ yang dah 2 jam menanti aku. Patutnya dia tunggu aku barang sejam sahaja tapi dah flight aku delay makan jadi lah 2 jam.

Nak lagi kesian, dia bagitau aku yang dia kena game dengan cashier café di airport. Dia cakap dia masih blur pasal tukaran matawang dan bayar guna Usd manakala cashier pulangkan semula pakai Sri Lankan Rupee.  Lepas dia kira congak semula baru dia sedar dia kena overcharge.

Jadi aku tanya berapa yang dia kena charge untuk secawan kopi. Dia cakap RM80. WTFF ?????!! Tiada apa yang dapat aku lakukan melainkan pujuk dia dengan mengatakan mungkin dia ter-order kopi Luwok kot.

Bandaranaike International Airport
Mujurlah di Sri Lanka sudah wujud servis Uber, maka kami naik Uber aja dari airport ke tempat peningapan kami selama 2 hari di Negombo iaitu King Fish Guest house. Untuk pengetahuan, airport antarabangsa Sri Lanka terletak di Negombo, kira-kira 40 Km dari ibu Negara Sri Lanka, Colombo. Uber lak hanya beroperasi di bandar Negombo dan Colombo sahaja. Di Negombo pun ada dalam 4-5 buah yang beroperasi.

# bercuti di sri lanka # pengembaraan di sri lanka # cuti cuti sri lanka # tuk tuk sri lanka # tips ke sri lanka

Share:

Redah 3.0 : Sri Lanka - Overview

Tiket untuk ke Sri Lanka aku dah beli kira-kira 4 bulan sebelum masa bertolak. Macam trip-trip sebelum ni, aku main beli aja tiket sewaktu promosi sebelum gamble kalau kena gaya, aku akan pergi. Yang pasti aku pilih ke sana pada bulan Januari sebab ia bukan musim hujan. Aku pilih ke sana selama 9 hari iaitu dari 13hb Januari 2017 sehingga 21 Januari 2017. Sebenarnya aku main ambik aja 9 hari sebab jenis aku, beli dulu baru plan kemudian. Haha. 

Kenapa Sri Lanka? Antaranya sebab sudah tentu kerana tiket yang kena dengan bajet, kedua kerana aku baca ada agak ramai penduduk Muslim di sana bermakna senang nak dapat makanan Halal dan ketiga kerana aku baru tahu akan kewujudan komuniti Melayu disana. Selain itu sudah pasti kerana Sri Lanka mempunyai tempat tempat bersejarah yang menarik untuk dilawati.Btw, aku peminat subjek Sejarah.

Sepatutnya seperti trip Redah 1.0 dan Redah 2.0 aku sebelum ni, aku plan travel disana secara solo namun last minute, member aku budak AJ cakap nak join maka jadilah trip berduo. Bagus gak berduo ni, atleast ada teman bergembira dan berduka kalau apa2. Haha. Untuk pengetahuan, kami pernah berbackpacking berdua sebelum ni time trip Siem Reap-Bangkok.

Disebabkan AJ beli tiket 2 minggu sebelum bertolak, maka kami naik flight berasingan tetapi masa lebih kurang. Aku ambik Malindo Air yang bertolak yang pada jam 10.25 malam manakala AJ ambik AirAsia yang gerak jam 9.00 malam.

Untuk ke Sri Lanka, warganegara Malaysia memerlukan visa. Visanya boleh apply online dengan kadar $30 dan hanya mengambil masa tak sampai 30 minit untuk diluluskan. Kalau yang terlupa tuh tara hal. Boleh apply visa on arrival tapi makan masa la nak beratur dan harga pun dah lain.
Sebenarnya selepas berpengalaman menyewa motosikal di Indonesia sewaktu Redah 2.0 dan trip ke Bandung yang lepas, aku rasa lebih seronok dan mudah pula untuk travel secara bermotosikal berbanding menggunakan kenderaan awam. Jadi sebelum membeli tiket ke Sri Lanka, aku dah research dan confirm-kan kebarangkalian menyewa kenderaan disana.

Pada mulanya memang aku plan untuk menyewa motosikal tapi bila AJ cakap nak join, maka aku melihat pada pilihan yang lebih unik untuk mengembara bumi Sri Lanka iaitu dengan menyewa sebuah tuk tuk.  Untuk pengetahuan, tuk tuk merupakan kenderaan kebanyakan rakyat marhaen Sri Lanka, bukan sekadar pengangkutan awam, maka untuk menyewa satu adalah possible.

Setelah research serba sedikit akan syarikat - syarikat sewa kenderaan di sana, aku pun menghubungi salah satu syarikat sewa kenderaan iaitu ClubShaLanka. Di TripAdvisor ada reaksi pelbagai berkenaan syarikat ni tapi aku gamble aja sebab aku dapati ulasan positif lebih banyak dari negatif.

Selepas bertukar email, maka aku dimaklumkan tiada masalah untuk aku menyewa sebuah tuktuk. Apa yang aku perlukan adalah lesen memandu antarabangsa dan surat kelulusan Automobile Association Ceylon (lebih kurang AAM di Malaysia). Tuh ja. Dan berkenaan lesen memandu lak, memang lesen memandu Malaysia B2 sudah cukup untuk membenarkan kita memandu sebuah motosikal roda tiga aka Tuk tuk.

Ni lesen memandu antarabangsa aku yang ada B2 dan D. Aj berlesen B2 jugak tapi takda cop
NOT EXCEEDING 250cc tuh maka ada kemungkinan boleh bedal bawak lebih 250cc.

Tetapi bagi mereka yang nak menyewa, lihat juga jenis tuktuk yang anda nak sewa sebab ada sesetengah tuktuk modelnya bersesaran lebih dari 250cc jadi kemungkinan anda memerlukan lesen B Full. Macam aku, pihak ClubShaLanka dah maklumkan tuktuk mereka adalah model Bajaj Re petrol yang berkapasiti 200cc.(kalau model bajaj Re Dieasel berkapasiti 400ccc)

Bagi kos sewa pulak, sebuah tuktuk disewakan pada kadar usd20 sehari dengan jarak batuan terhad kepada 100km sehari. Lebihan jarak perbatuan dikira dengan kadar 20 rupee per Km. Deposit pula adalah sebanyak usd200.

Kos kelulusan AA Ceylon tuh adalah usd35 jika diuruskan oleh pihak ClubShaLanka tetapi kalau kita pergi buat sendiri tak silap aku dalam usd15. Tetapi sebenarnya aku rasa benda ni macam tak perlu pun berdasarkan pembacaan aku di internet. Kalau pihak penyewa anda tak suruh buat, aku syorkan tak payah la buat memandangkan dari pengalaman forumer TripAdvisor dan pengalaman aku sendiri ketika ditahan polis sana, mereka tak mintak tengok pun. Banyak tuh Usd35!

Apapun try bagi confirm agar jika berlaku kemalangan atau apa-apa tiada masalah berbangkit terutamanya dari segi tuntutan insurans. Untuk Insurans peribadi, aku ambik dari etiqa takaful travel plan secara online. ( kalau yang Muslim tuh ambik lah insurans takaful, bukan konvesional )

Mula mula Suranga, pemilik ClubShaLanka mintak aku poskan wang pemprosesan AA Ceylon pakai WesternUnion namun kebetulan WesternUnion kat sini tengah server down hampir seminggu maka dia cakap dia caya kat aku dan suruh bayar time ambil kenderaan nanti. Jimat Rm50 untuk kos  transfer di  WesternUnion
.
Sebenarnya aku hanya menjalankan research tentang itinerary Redah 3.0 ni kira-kira 3 hari sebelum bertolak walaupun tiket dah beli berbulan awal. Dari segi sewa kenderaan aku deal sebulan sebelum bertolak. Lagipun jenis aku, kalau terlalu over research pun tak best jugak sebab semua benda dah boleh di jangka.

Map perjalanan kami dalam Redah 3.0

Masa berganti masa, maka hari dinantikan pun tiba………… bersambung

# bercuti di sri lanka # pengembaraan di sri lanka # cuti cuti sri lanka # tuk tuk sri lanka # tips ke sri lanka

Share: