Pukul 9am aku pun keluar dari rumah menuju ke Kapitan Ara Damansara untuk bersarapan. Pagi ni tekak terasa nak makan maggi goreng, menu makanan yang sangat-sangat jarang aku nak makan selama ni. Takut jugak masuk muka depan Harian Metro esok tapi layan aja lah. Semua itu Qada dan Qadar.Malam semalam pun sudah tertunai makan McD yang keampunan semasa malam sebelumnya, Thanks to Aj ( partner ke Cambodia/Bangkok tempoh hari).
|
Iktibar dari perjalanan 2 hari lepas |
Kalau diikutkan aku bertolak agak lewat dari plan yang asal berpunca kerana tercari-cari passport yang aku bawak bersama (Nak tau kenapa bawak passport? nantilah cerita) yang akhirnya dijumpai dibawah timbunan barang dalam box motor. Penat aja aku naik turun apartment.
Walaupun bertolak dah agak lewat, aku tak runsing memandangkan semalam aku dah booking katil di sebuah dorm di Jonker Walk, Melaka, so sampai pukul berapa pun ada aja tempat untuk aku nak tidur pada malam ni. Perkara pertama yang hendak aku lakukan pada hari ini adalah ke KLCC untuk snap sedikit gambar buat kenangan sebelum menuju Bukit Ampang.
|
Laluan untuk hari ini :Ara Damansara-KLCC-Bukit Ampang-Jelebu-Kuala Kelawang-Rembau-Seremban-Tampin-Jonker walk yang (lebih kurang 206km) |
Jalan hari ini agak lengang memandangkan arini ari sabtu, nak ride pun takda la tension sangat. Kat KL aku tak rasa di pandang semacam sangat naik motor dengan bawak barang banyak di belakang memandangkan maybe orang assume aku ni mat despatch berbanding kalau masuk pekan - pekan kecil yang mungkin lihat aku lebih seperti penyamun.Haha..
|
Kena kerumun dengan 3 orang abang security jugak la untuk dapat gambaq ni...
kes bawak motor naik tempat pejalan kaki..hahaha |
Bila berada dihadapan banggunan mercu tanda negara, terasa tidak percaya pun ada yang aku sampai disini dengan menaiki skuter ini. Selalunya datang dengan kereta pun dah rasa jauh. Tapi perjalanan masih jauh untuk excited lebih. Selepas snap sedikit gambar, aku pun meneruskan perjalanan ke Bukit Ampang. Ekceli laluan aku hari ini takda lah unpredictable sangat since aku dah pernah buat daily trip menggunakan laluan yang sama bersama Cik Dee satu ketika dahulu. Bezanya dulu naik kereta dan sampai Somban jooo. So hanya laluan Seremban-Tampin yang aku tak pernah lalu lagi mengikut perjalanan hari ini.
|
Roadbloack pertama yang kena tahan selepas lolos untuk 3 roadblock sebelumnya
Thanks untuk Pakcik Polis sebab memahami yang roadtax saya susah nak amik bawah seat nuh. |
Sebelum ni aku dah beberapa kali jugak la naik Bukit Ampang tapi menggunakan GPS, pagi ni saja ja aku buat sombong nak test memori dengan try redah dulu. Ended up rugi 30 minit sebab sesat jalan. Dengan segan silu aku pun bertanya arah pada papago. Haha.
|
Pemandangan Kuala Lumpur dari Bukit Ampang |
|
Err...Tanah Runtuh...?? |
On the way menyusuri laluan Jalan Hulu Langat, aku tiba - tiba tersempak dengan papan tanda besar tertera notis KAWASAN TANAH RUNTUH. Tercengang jugak aku disitu beberapa ketika samada patut meneruskan perjalanan atau tidak. Selepas beberapa minit membuat calculation dan perdebatan dalam otak dan hati, aku pun memulas semula throttle dan melepasi papan tanda tersebut. Tak sanggup aku nak tukar plan last minute disamping aku memang dah nampak yang jalan ni antara jalan yang aku akan dapat enjoy suasana hutan.
|
Tanah Runtuh yang dimaksudkan |
|
Good guys Jabatan Perhilitan... doesn't include tiger because don't want to scare you ..haha |
Laluan Sungai Tekali ni memang sunyi dan berliku dengan kiri kanan hanyalah hutan. Sesekali baru akan terjumpa dengan rumah orang asli atau perkampungan kecil. Kalau siang pun dah rasa ngeri, malam lagi lah. Aku pernah sekali buat kerja gila naik bukit ni lebih kurang pukul 1 pagi kononnya nak touge, tapi lepas hampir 10 km terus patah balik sebab jalan sunyi dan gelap nak mampus. Sebenarnya laluan ni memang tempat geng superbike mahupun kereta melayan corner dengan jentera masing-masing selain digunakan para cyclist. Nak berhenti ambil gambar pun ngeri sebab takut rimau keluar dari celah hutan ataupun lagi teruk didatangi penyamun.
|
Suasana yang sungguh nyaman walaupun dah tengahari
|
|
Empangan semenyih |
|
Not a good sight huh ? |
Sewaktu melayan laluan berliku ni, aku tersempak dengan sorang brader dengan seluar rabak tengah lepak tepi jalan sambil main ipad. Musykil jugak akudan brader ni pun tengok aku sekilas pandang sahaja sebelum sambung layan main ipad semula. Aku yang malas nak ambil port takut-takut bunian ka hapa (bunian ada ipad?) terus berlalu. Sampai sahaja di selekoh seterusnya, aku nampak sebijik motor dah tertiarap tepi jalan dengan rim yang bengkok. Tak syak lagi ni mesti motor brader ipad tadi, terfikir jugak aku nak patah balik tapi memandangkan brader tadi takda pula menunjukan sign SOS atau menunjukkan reaksi memerlukan bantuan, maka aku rumuskan dia dah roger somebody la kot. Jadi dengan perasaan bercampur baur aku meneruskan perjalanan.
|
Sedar tak sedar den sampai sempadan nogori |
lopeh jo sempadan nogori ni, jalan dah tak berapo nak hutan, den melalui beberapa pokan kecil sebelum sampai di pokan jelebu.
|
den dah lupo namo pokan ni..tapi sebelum sampai pokan Jelebu@kuala klawang lah tompek ni |
|
bilo nampak banggunan ni den dah leh tahu kata dah sampai pokan jolobu@Kuala klawang sebab den dah ponah lalu |
Sampai jo pokan Jolobu den ghaso lebih afdal lah den makan siap-siap memandangkan jam dah pukul 2 potang dan keberangkalian den nak dapek nasi berlauk pado waktu ini masing tinggi. Sambil melilau dalam pokan yang tak seberapo nak hidup mungkin sobab hari ini hari sabtu, den singgah lah kat sebuah kodai makan yang nampak lebih kurang mini foodcourt ni. Lauk makanan tongahari dia masih banyak cukup la buek musafir kelaparan macam den ni. Sebenarnya den suka bonar bahaso nogori ni sebab waktu den study kek melako dulu den ada sorang member yang cakap nogori pekat dan memang lawak sangat lah mulo2 den dongar. So time nak bayar den tanyo gak kek makcik cashier ni apo ke hei yang den tak dongar sangat orang kek kodai ni cakap nogori sebelum makcik ni jawab yang dia orang Johor sebenarnya...Den pon sonyum aja lah sambil buek2 tanya jarak perjalanan untuk poie somban.
|
ikutkan taknak den makan nasik sebab takut ngantuk tapi apokan dayo monda dah dopan mato.. |
|
Abandoned and rotten!
Humang aih..sayang nyoo!.. nanti den dah kayo den kombali selamatkan ekau..! T.T |
Lopeh jo beberapo boleh kilometer den bergerak dari pokan jelebu ni, hujan renyai - renyai mula turun. Den yang dalam mode sentiaso water resistant ni takdo sebarang perubahan mekenikal mahupun teknikal yang perlu dibuek.
|
Dulu first time lalu jalan ni den tertanyo-tanyo jugak apo mondo banggunan bosar ni,
kali ni baru den tahu ni rumah anak-anak yatim..dah macam istano pon ado |
Lepas jo kawasan reakreasi Jeram Toi, laluan dah mula menjadi jalan besar dua lorong mendaki dan menuruni bukit. Den cubo jugak nak berhenti ambil gambar laluan ni tapi setiap kali den berhenti, moto den akan reverse sendiri atau kedepan sendiri dek kerano jalan yang curam. Last-last den yang tak terdayo nak lawan hukum alam pun mengalah dan meneruskan perjalanan. Time jalan makin berselekoh dan mula bertukar jadi selorong ni la hujan mula nak turun makin lebat. Den yang naik motor ditambah pulak macam-macam muatan kek belakang ni tak brani la nak bawak laju-laju. Mako berderet jugak lah kereta beratur follow lead den. Sorry yoo abang kakak makcik pakcik sekalian. Den dah cuba sedayo laju mungkin.Lopeh ja melayan laluan berliku dan apa bagai, maka den pon sampai la kek bandar somban. Den tak masuk pon pokan somban cuma sekadar melalui pinggir bandar jo sebelum mengambil laluan ke Rombau.
|
Gembira jugak hati den sebab ado jugak orang yang nak perati den yang tak seberapo ni |
Sedar tak sedar den dah sampai pulak di pokan Rombau. Sebenarnya den dah terlopeh dah simpang nak masuk pokan ni sebab kalau ikut laluan pon memang takkan masuk pokan ni tapi memandangkan den tak mahu lah nanti bila orang sebut pokan Rombau nanti den tak leh bayang yang pokan Rombau ni sebesar Seremban kah? Kuala Lumpur kah ? ataupun Kangar kah..? maka den pun berpatah balik dan masuk meninjau tengok pokan ni dengan lebih dekat. Kalau betul lah ni pokan Rombau maka kocik ajo lah rupa nyoo..kihkih.
|
Rombau most slowest.. |
Den singgah sobontar di Petronas Rombau untuk isi minyak yang last sekali den isi kek Ampang tadi. Buek maso sekarang den belum guno laie minyak dari bokeh ajaib den tuh. Den takut gak bawak minyak 4liter kek belakang tuh mana tahu kot melotup ka hapo tak ko hangus den yang dah hangus sunburn ni tapi den doa ajo lah mintak simpang. Kek stesen minyak ni sompek jugak den berborak dengan sorang brader CBR250 ni yang den tengok gayo macam ride long distance gak. Nasib baik ilmu permotoran den ado la update sikit-sikit so boleh la den layan sembang.Perjalanan di teruskan dengan melalui pekan Tampin yang tak berapo jauh atau mungkin sebab fikiran den dah melayang yang membuekan den ghaso dekat sebelum memasuki nogori Melako..
|
Negeri ke-6 yang aku kunjungi,
kat tepi motor aku tuh batu bertulisan cina dengan colok. |
Menyusuri jalan Alor Gajah ke Bandar Hilir mengingatkan kembali kepada nostalgia menetap di Melaka pada tahun 2006-2008 sebagai seorang student. Zaman tu aku hairan kenapa aku tiada minat untuk berjalan sehinggakan 2 tahun menetap di Melaka pun banyak jalan dan tempat yang aku tak tahu. Jam menunjukkan pukul 6.30 petang ketika aku sampai di Bandar Hilir. Malam ini aku akan bermalam di Galvanize Studio Stay, Jonker Walk yang berkonsepkan dorm menempatkan dua katil double decker didalam satu bilik. Aku yang berpandukan GPS terpinga-pinga mencari jalan seketika kerana Jalan Jonker yang ditunjukkan telah ditutup untuk memberi laluan kepada Pasar Malam minggu, jadi GPS memberi laluan alternatif yang lain yang akhirnya aku tanpa sedar dah masuk jalan melawan arus. Layan ajalah panduan GPS aku ni lagipun abang-abang polis yang meronda berjalan kaki pun buat tak endah saja.
Selepas beberapa ketika aku pun sampai di Galvanize Studio, masalah pertama yang aku hadapi ialah tiada ruang untuk parking motor kerana lorong depan Galvanize Studio ni muat-muat untuk kereta lalu dan bergarisan kuning. Mujurlah betul-betul dihadapan Galvanize Studio ialah Hard Rock Cafe dari sebelah belakang dan ada sedikit ruang meletak motosikal yang sebenarnya dikhususkan untuk pekerja Hard Rock Cafe jadi aku main letak aja situ.
|
Galvanize Studio, Jonker Walk |
Galvanize Studio yang aku menginap ni turut mempunyai cafe dan lebih kepada art studio. Kebetulan semasa aku nak check in, bakal roommates aku malam itu juga turut tengah dalam proses check in iaitu seorang lelaki dan dua orang perempuan. Segan jugak rasanya nak berkongsi bilik dengan perempuan pada mulanya tapi layan ajalah sebab inilah lumrah menginap di dorm. Aku sempat berbual seketika dengan mereka bertiga sewaktu kami sama-sama masuk ke bilik dorm. Mereka dari Johor dan datang Melaka atas kerana jemputan kenduri dan aku pun turut menceritakan sebab yang membawa aku ke Melaka ni. Selepas berbual sejenak aku pun terus ke toilet untuk mandi. Bilik air di sini satu sahaja tuh pun dibahagian bawah lobi. Bilik air dia kecil aja tapi yang paling penting showernya dilengkapi water heater walaupun air keluar tak berapa bersungguh.
|
Lobi. Sebenarnya gambar ini diambil pada waktu lain sebab tuh tiada orang. |
Setelah keluar dari toilet kelihatan roomate aku tengah bersembang dengan seseorang yang aku syak mungkin pemilik studio ini barangkali. Aku pun berlalu naik untuk bersiap. Perut aku waktu ini memang dah lapar gila memandangkan last makan adalah pada pukul 2 petang tadi di Jelebu. Nasib baik lah galvanize studio ni turu mempunyai cafe di bawah jadi aku yang lapar ni memang dah malas nak cari makan jauh-jauh. Ketika turun mereka kelihatan masih bersembang mengenai studio ini tanpa mempedulikan aku yang lalu. Sebenarnya tadi waktu mandi aku ada la terdengar sedikit perbualan mereka dan brader yang aku rasa owner itu mengatakan asalnya tempat ini cafe dan art studio sahaja sebelum baru-baru ini mereka mengubahsuai sedikit ruang untuk dibuat tempat penginapan bagi gologan backpackers.
|
Cafe Warung Seni@Galvanize Studio |
Variety makanan yang disediakan tak banyak, yang aku perasan ada roti hotdog, selain beberapa jenis nasi lemak dan juga spagetti. Aku yang berhajat nak terus masuk tidur hanya order hotdog dan cappuccino sebagai makan malam. Tiada apa yang aku nak komen bab makan selain bagi aku air cappuccino itu agak overpriced, RM 7 kalau tak silap untuk air rasa macam hasil bancuhan 3in1 tuh.
|
Lobi dari sudut lain |
|
Gambar yang tergantung ni semuanya adalah untuk dijual.
Harga RM1k ke atas. Huhu. Nak duduk dekat pun takut. |
Selepas sudah makan aku pun naik semula ke bilik dengan niat nak tidur. Roomate aku yang tiga orang tadi dah keluar entah kemana. Tapi badan aku yang seketika tadi lesu tetiba pulak rasa fresh. Tengok jam pulak baru nak masuk pukul 9 malam. Jadi dari buang masa paksa diri tidur lebih baiklah aku keluar berjalan ke Jonker Walk yang terletak di hujung lorong aja. Ketika turun hendak keluar, kelihatan brader owner itu tengah berbincang serius dengan staf tempat ni tentang projek mereka. Mungkin kerana muka aku bukan muka orang seni maka takda langsung brader or mana-mana staff nak tegur atau sapa aku. Tak kisah lah sebab kalau dibukak topik seni nanti jenuh aku nak ingat balik term-term dari kelas pendidikan seni berkurun dahulu. Aku pun berlalu pergi menuju ke Jonker Walk.
|
Sumpah ni first time aku kesini walaupun pernah menetap 2 tahun di Melaka |
|
Sesak dengan pelancong local terutamanya |
|
Antara kedai - kedai jualan |
|
Teringat aku pada Pub Street di Siem Reap, Cambodia |
Jonker walk bagi aku tiada apa istimewa melainkan sekadar pasar malam minggu yang menjual barangan cenderamata selain di selit dengan barangan - barangan ala-uptown. Terdapat juga makanan di jual di gerai - gerai tersebut namun boleh dikatakan semuanya adalah makanan yang dijual peniaga Cina. Apa yang menarik perhatian aku bagaimanapun adalah seni bina banggunan di kawasan ini yang klasik. See, masih ada nilai artistik ok dalam diri gue.
|
Sempat layan lagi Pussy Cat Doll versi Jonker Walk. |
|
Seni bina klasik yang sungguh awesome! |
Selepas puas meninjau kawasan Jonker Walk, aku pun pulang ke dorm untuk tidur walaupun suasana makin meriah di luar sana. Roomates aku tak balik lagi waktu tuh maka boleh lah aku tidur dengan senang hati.
Bersambung.......
3 Rangsangan:
Routes Sungai Tekali tue agak scary ek? Agreed as what you said earlier, siang hari pun dah scary, kalau lalu malam, phew! Ya, that Jonker Street very much reminded me of Pub Street in Siem Reap.
dari membazir masuk rumah antu funfair baik isi minyak lalu situ ja..haha
Picture hang dengan motor dekat KLCC tu memang terbaik.. thumb up.. !!!
Aku pun kalau drive motor sorang2 nampak "anda sedang diperhatikan pun aku suka" hahaha.. xde la rasa keseorangan :P
Ye.. harimau tidak di nyatakan.. kalau kat africa "lion crossing road" pun ada tulis :P hahaha..
pape pun memang smart tour ni bro :D
Post a Comment