13 July 2013

TRIP TO PENANG WAR MUSEUM PART 2


Sambungan dari Part 1


Setelah brunch sekadar memadai, kami pun meneruskan perjalanan menuju ke Batu Maung, Pulau Pinang. Sebenarnya aku lebih suka menyebut negeri 'mutiara timur' ini sebagai Pulau Pinang yang tampak lebih local berbanding Penang. Tapi yang aku pening kekadang orang tulis sebagai Pulau Penang. Failed. Hujan mula turun dengan renyai - renyai taktala kami melalui Jambatan terpanjang di Asia Tenggara untuk ke bahagian pulau. Berbeza sekali dengan cuaca panas terik sepajang laluan sebelumnya.

Pada pukul 12.30 tengah hari kamu pun tiba di perkarangan parking Muzium Perang Penang. Lorong nak ke Muzium Perang ini agak tersorok jadi kena alert dengan signboard di tepi jalan. Kalau diikutkan, macam tak percaya pulak terdapat muzium yang tinggi nilai sejarah hanya dibelakang projek-projek perumahan tetapi tidak bermakna suasana di sini hingar bingar. Hujan masih renyai - renyai tetapi untuk tidak membuang masa kami terus berjalan memasuki kawasan muzium. Sebenarnya hujan ini agak rahmat bagi kami berdua kerana bayangkan kalau berjalan di muzium open ini taktala matahari terpacak diatas kepala.

Suasana agak lengang di mana kelihatan beberapa orang pengunjung dan staff muzium berada di pintu masuk muzium. Kami terus menuju ke kaunter tiket untuk mendapatkan tiket masuk. Harga tiket bagi seorang adalah Rm20. Setelah membeli tiket, kami diberi map untuk menjelajah kawasan muzium open seluas 20 ekar ini. 

Sedikit sejarah, Muzium Perang ni adalah tapak sebenar kubu askar British satu ketika dahulu dimana ia dibina pada tahun 1930-an untuk mempertahankan pulau yang menjadi aset penting meraka ini dari jatuh ke tangan askar Jepun. Pada waktu itu British menjangkakan pihak Jepun akan menyerang pulau ini dari laut tetapi macam biasa askar Jepun ni panjang aja akalnya jadi mereka melakukan kejutan dengan menceroboh melalui Jambatan Pulau Pinang tanpa membayar tol kerana mereka hanya menggunakan basikal. Caya tak? hahaha... Ok. Sebenarnya mereka menceroboh pulau ini dari part lain jadi semasa menyerang kubu ini mereka menyerang dari darat dan bukannya datang dari laut. Oh ya, kubu ini betul - betul mengadap laut. So dengan pertahanan yang agak kurang untuk menangani serangan dari darat, maka jatuhlah kubu British ini ketangan askar Jepun.


Jangan risau kalau hilang map yang diberi, angkut aja frame ni...


Benda pertama yang anda akan jumpa disini adalah sebuah meriam bapak besar. Meriam ni sebenarnya replika sahaja kerana meriam asal telah dimusnahkan askar British ketika hendak berundur. Takda makna nak sedekah..Ya tak?



Tempat pertama yang kami masuk adalah sebuah bunker underground untuk menyimpan peluru meriam. Walaupun nama underground sebenarnya tak turun bawah tanah pun kerana ia dalam bukit. Kalau dilihat pada serpihan besi yang tertinggal di lantai tuh, ia sebenarnya rack untuk meletakkan peluru. 


Sekarang bunker ini telah ditukar menjadi bilik pameran. Nasib baik aku bertemankan Cik Dee, tak dapat bayang kalau datang sorang - sorang, ngeri beb memikirkan perkara yang pernah berlaku di dalam ni satu ketika dahulu.


Terdapat juga pintu kecemasan untuk askar - askar keluar. Pengunjung juga boleh menggunakan laluan ini namun akan detour dari laluan yang disuggestkan dalam map.

Sewaktu memasuki bunker ini, terdapat dua terowong sempit di kiri dan kanan pintu masuk bunker. Sebenarnya ia adalah tempat untuk askar-askar berlindung andai kata kawasan ini di bom kapal terbang musuh. Terowong ini dibina mengelilingi bunker ini jadi kalau masuk pintu kiri boleh keluar balik di pintu kanan. Kalau tak suluh memang gelap beb, ngeri walaupun bertemankan Cik Dee. Lagi satu terowong ni sempit sungguh sehinggakan aku kena tunduk dan berjalan macam ketam untuk masuk. Bayangkan kalau ramai- ramai masuk, sesak napas.


Bayangkan kalau anda seorang diri yang dan tetiba time nak keluar bunker berdepan situasi macam ni. Tapi model di depan tukar dengan watak ngeri lah. Hahaha.


Banggunan ini adalah bilik tidur untuk pegawai tentera british yang in charge kubu ini. Perasan tak bilik hujung sekali tuh takda pintu. Di bilik hujung sekali tuh tersimpan tragedi hitam tersendiri.


Di dalam bilik ini lah beberapa orang askar British telah di tembak mati oleh askar Jepun. Kesan peluru masih jelas kelihatan.





(Adeh...mengantuk la pulak... Jadi tunggu sambungannya di Part 3..hehe)

Share:

20 June 2013

Beras Perang dan Kambing Hitam

Hari ini aku shopping sorang - sorang di Tesco memberi barangan keperluan dapur. Sejak kembali duduk Kelompo ( bagi aku KL tuh termasuk selangor..sebab jarang  aku dengar orang cakap pergi selangor..haha..) semua benda kena buat sendiri dan memandangkan banyak masa terluang, boleh dikatakan hari - hari aku masak sendiri aja. Lepas seminggu asyik dengan menu  roti tortilla dan maggi, aku pun mula membelek ruangan beras. 

Hasilnya, aku membawa pulang sekiloram beras perang bungkus. Kenapa beras perang? Tahukah anda beras perang mempunyai lebih banyak zat dari beras putih. Beras perang juga kurang kalori dan tinggi fiber bermakna perut akan kenyang lebih lama. Tapi kenapa orang jarang makan? Kerana beras perang kurang enak dan juga kurang wangi berbanding beras putih. Biasalah, makanan sihat mana ada yang sedap. Masalah pertama yang aku hadapi adalah cara menanak nasi. Bab ni yang aku masih ragu-ragu dengan diri sendiri kerana aku memang dah lupa cara menanak nasi. Walhal satu ketika dulu aku pernah menanak nasi satu periuk nasi besar untuk beratus orang makan. Tuh cerita zaman kerja catering dulu lepas SPM.

Mengenai kerja catering di kantin tuh, teringat aku satu peristiwa. Kerja aku didapur kantin waktu itu hanya melibatkan memotong sayur, menanak nasik, menyusun dulang, kemas dan cuci pinggan. Bab masak dan bancuh air dipertanggungjawabkan kepada orang lain kerana ia memerlukan sedikit skill yang khusus. Tapi bancuh untuk diri sendiri memang selalu lah. Nak di jadikan cerita, satu hari ni selepas waktu makan tengah hari, suasana kantin lengang melainkan ada 3-4 orang pensyarah yang tengah duduk melepak dimeja khas untuk pensyarah. Semua tengah menjamu kuih muih sambil berborak. Waktu ni pulak, kami staff kantin tengah berehat selepas puas melayan pelatih-pelatih turun lunch tadi. Oleh kerana member berborak aku MC hari ni, maka aku melepak sorang - sorang di tempah bancuh air sambil makan kerepek. 

Dalam melayan perasaan, tiba-tiba datang sorang pensyarah lelaki yang kalau tengok gaya macam senior jugak dalam institusi perguruan tesebut. Beliau dengan suara tegas bak cikgu HEM pun mengorder teh tarik dari aku memandangkan aku yang melepak disitu. Teh tarik ni nak buat takda la susah sangat. Masukan air teh yang dah tersedia direndam dan tambahkan sedikit air panas dan susu aja sebelum ditarik setinggi mungkin. Janji berbuih. Waktu tuh kak siti, pemangku tukang bancuh air yang memangku tugas member aku yang MC tuh tengah sedap menjamah nasi sambil berbual dengan mak cik-makcik kantin yang lain di belakang. Untuk tidak menganggu tempo mereka berborak, aku pun terus bangun menuju ke arah bahan-bahan membuat teh tarik sambil bercakap dalam hati "alahh...susah mana sangat nak bancuh teh tarik.." dan tanpa sedar tengah menarik air teh tersebut setinggi mungkin. Buih kelihatan boleh tahan jugak dalam gelas tuh dan aku pun rasa dah lengkap dah spesifikasi air yang aku bancuh ni untuk digelar teh tarik. Maka tanpa membuang masa aku pun membawa teh tarik pertama bancuhan aku sejak hampir sebulan bekerja disitu kepada pensyarah tersebut yang tengah rancak bersembang dengan pensyarah yang sudah lama melepak tadi.Lepas setel menghantar, aku pun sambung duduk berehat. Time rehat ni tak payah buat rajin mengemas, sebab sebentar lagi masuk waktu minum petang pulak dan time tuh nak sibuk balik. Lepas minum petang   nak kena kemas cuci pinggan yang beratus tuh. So takda lagi istilah rehat selepas waktu ni so aku cuba memanfaatkan waktu rehat ini dengan baik. Apa yang best sini time rehat boleh melantak apa saja yang kita nak. 

Dalam beberapa minit mengelamun memikirkan memacam menda, tiba-tiba terdengar suara pitching tinggi dari pintu kantin yang direct ditujukan pada aku." sapa bancuh ayaq niiiiiii !!!!!! " aku yang masih terkejut kerana di sapa tanpa salam bingkas bangun dari duduk dan dengan laju menjawab "errr.... orang belakang" sambil menunjukkan jari telunjuk kearah belakang kantin. Konon kononnya tukang bancuh air tersebut ada di belakang. Dalam situasi macam ni konsep kejujuran yang bertahun diterap oleh cikgu sekolah dah aku campak jauh-jauh. Gila hapa nak mengaku kat pensyarah bermuka garang ni. Tak sanggup aku nak kena maki. Terus pensyarah tersebut berkata " panggil dia mai sini sat !!! " . Sudahhhh.. time ni aku dah panik. Sapa yang aku nak panggil ? Sapa yang nak di escape goat kan ? Takkan Mak Cik Ani pulak. Silap haribulan mau kena serangan jantung orang tua tuh yang aku pasti tak memegang mana-mana polisi insurans. Kak Nab? Jangan.. aku sanggup dia maki aku dari pensyarah garang ni sebab dia punya makian lagi ganas. Tauke  kantin? fuhhh... jangan main gila. Tanpa berfikir panjang aku terus meluru ke belakang mendapatkan kak siti.  Kak Siti tua 2 tahun aja dari aku. Memandangkan jarak usia kami tak jauh, memang boleh buat sembang tambah pulak dia punya humor memang mantap.Tanpa banyak cakap, aku denga muka cemas hanya bagitau Kak Siti yang ada pensyarah panggil, dan iya kan aja apa yang dia cakap. Kak Siti yang masih blur - blur terus pergi ke pintu kantin mengadap pensyarah tersebut. "Haaa...hang kalau taktau bancuh ayaq, hang tak payah bancuh..! la suruh orang lain bancuh and make sure sedap!". Time ni Kak Siti masih blur tapi nasib baik dia mengangguk saja tanpa banyak bicara. Pensyarah yang bengang tuh pun beredar ke meja.  Aku yang nak tergelak dengan sedikit simpati cepat-cepat explain dan mintak maap pada Kak Siti. Hahahahaha. Nasib baik Kak Siti ni jenis happy go lucky. So dia pun bancuh Teh Tarik baru sambil sedikit mengomel dan aku la tukang hantar seolah olah aku lah tukang bancuhnya. Nasib baik kali ni tiada lagi kompelin. Moral of the story, ada masa kita kena menipu. Hahaha

Berbalik kepada beras perang aku tadi, dah masak pun jadi nasik. Semuanya berjalan lancar hasil tips dari Cik Dee. Kalau la aku tahu, dah lama aku masak nasik dari makan maggi.

Cuci beras sehingga suci

Hasilnya
Nasi beras perang + sardin + telur + kacang panggang dan tauhu. (nak masak sayur tak reti)
Nampak jijik ? well... Masuk perut sama ja jijiknya. Janji berkhasiat. Haha.

Share:

19 June 2013

Redah 1.0 : Peninsular Overland Day 6

Perasaan bangun pagi ditempat asing dan tertanya - tanya dimana kita berada memang seuatu yang mengujakan. Aku menuju ke tingkap untuk melihat suasana pagi di luar memandangkan sewaktu aku check in semalam dah gelap. Selepas mandi, sembahyang dan mengemas barang, aku pun turun mendapatkan motor yang disimpan di dalam stor hotel. Thanks untuk brader receptionist yang concern dan benarkan aku parking di situ. Sambil menyusun barang keatas motor, aku berbual - bual dengan brader receptionist tersebut yang kelihatan masih mamai.

Misi seterusnya adalah mencari kedai makan untuk bersarapan. Sepanjang perjalanan ini tak pernah lagi aku bangun dengan perut tak lapar. Aku hanya mencari kedai makan yang berada di dalam laluan aku yang tengah menuju keluar dari bandar Kota Bharu kearah Pasir Puteh untuk tidak membuang masa. Hujan renyai - renyai ketika ini dan kenderaan makin sesak menuju ke pusat bandar. Masing - masing sibuk nak pergi kerja and here i'm loitering. Haha.

Selepas beberapa minit menunggang sambil mata meliar bak helang melihat sekeliling, aku pun ter-detect sebuah kedai makan yang menepati kriteria aku iaitu pelanggannya tak terlalu ramai mahupun terlalu kurang. Tak terlalu ramai kerana aku tak suka nak makan di tempat yang sesak manakala kalau terlalu sedikit pula sah - sah kedai tersebut tak sedap.Hehehe.. Sebenarnya sebelum aku sampai di kedai makan ini, aku ada spot satu kedai makan style kampung tapi mempunyai tempat duduk seolah di bar. Paham maksud aku? kira makan duduk mengadap tukang bancuh air yang tengah bancuh air. Stylo! Tapi ramai sangat.

Tak kena kalau berada di Pantai timur tapi tak sarapan menu diatas ni.
Kalau diikutkan nak aja aku bersarapan Nasi Dagang hari - hari tapi memandangkan aku dah nak balik utara, maka lebih baik hari ini aku mencuba Nasi Kerabu pula. Oh ya, sebagai peminat nasi dagang, banyak kali juga sebelum ini aku membeli di pasar malam di utara ataupun KL namun tak pernah langsung terdetik nak mencuba nasi kerabu yang selalunya berpartner dengan nasi dagang ni. Namun satu peristiwa dimana aku mengikuti rombongan Persatuan Silat Cekak Hanafi MMU ke Kelantan satu ketika dahulu membuka selera aku kepada nasi kerabu ini walaupun still tak dapat melawan rasa nasi dagang. Tuh pun kes lapar dan takda pilihan kerana kami dijamu nasi kerabu bungkus ketika itu.

Sewaktu aku berdiri menunggu turn nak ambil lauk, aku sempat menegur seorang nenek ni yang tengah membakar ayam di sebelah. Aku tanyalah ayam bakar ni makan dengan apa sebab setahu aku nasi dagang dengan ikan tongkolnya dan nasi kerabu dengan ikan gorengnya. Nenek tersebut yang perasan aku bukan orang kelate cuba memberi jawapan dengan sebaku mungkin. Hahaha.
Perjalanan di hari keenam ini akan membawa aku menunggang skuter sejauh 399km iaitu Kota Bharu - Jeli - Gerik - Baling - Gurun - Alor Setar dan akhirnya tempat aku bermula, Kangar
Perjalanan diteruskan menuju ke Jeli.  Apa yang aku kagum dengan negeri Kelantan ini adalah penekanan pada penggunaan tulisan Jawi pada billboard dan signboard di setiap premis perniagaan. Aku berharap sangat agar dapat melihat negeri- negeri lain mengikut jejak langkah yang sama kerana tulisan jawi semakin lama semakin pupus digantikan tulisan bahasa asing walhal itulah tulisan kemegahan Tanah Melayu satu ketika dahulu. 


Bunyinya sungguh black metal
Suasana pagi yang masih dingin ditambah dengan cuaca mendung berlatar belakangkan pula suasana kampung memang menarik bagi aku lah. Sampai di area Jeli, aku berhenti di stesen Petronas untuk mengisi minyak memandangkan dengar cerita tiada stesen minyak dilaluan hutan Jeli - Gerik nanti. Selain mengisi minyak, aku turut mengambil kesempatan mengisi perut dengan keropok ikan kelate bersama minuman tenaga tidak rasmi, Redbull, bertemankan seorang kontraktor Kelas A kalau dari gaya percakapan telefonnya. Petronas Jeli bagi aku dah macam Mini R&R dek kerana fasiliti dan kedai mesranya yang serba lengkap.


First time aku tengok kedai Mesra Petronas yang dah macam mini supermarket.
Berdasarkan bacaan diinternet, jalan Jeli - Gerik ini memang di kelilingi hutan berbukit tanpa penempatan manusia. Aku banyak -banyak berdoa agar skuter aku ni tak buat perangai di laluansebegini.


here we go....! 
YeEhAaaaa! Konon laju..
Berdasarkan bacaan di internet juga, aku ada terbaca yang gajah gemar baring atas tar jalan ni malam - malam memandangkan tar jalan memberikan mereka haba panas.

Bukan selalu nak jumpa signboard ni apatah lagi menatangnya
Melalui sebuah R&R tapi dari pandangan mata kasar tengok macam ditinggalkan aja.
Tak pasal mee goreng bertukar jadi cacing..huhu
Seakan - akan terowong litar F1 Monaco tuh..
Bayangkan kalau motor rosak kat sinii... pergh..!
The real R&R
Setelah hampir sejam setengah melalui kawasan berbukit, aku pun berhenti di R&R Banjaran Titiwangsa. Walaupun sekarang dah tengah hari, tapi suasana diatas ni masih dingin. Aku mengambil kesempatan untuk berhenti minum dan makan kuih yang aku sempat tapau di kedai nasi dagang pagi tadi. Memang layan makan sambil melihat view di tebing gaung. Sambil melepak kelihatan jugak sorang brader tengah melayan sebatang rokok di hujung tebing.

 Memandangkan motor kami diletakkan berhampiran, aku pun seperti biasa buat-buat ramah memulakan perbualan sewaktu brader tersebut datang ke motornya. Dalam borak-borak tahulah aku yang brader ni orang kelantan yang on the way balik Kelantan dari Sik, Kedah. Aku pun cerita serba sedikit tentang journey yang telah aku tempuhi. Tak lama kemudian kami disertai seorang lagi brader dari Kedah yang on the way pulang ke pusat pengajiannya di Bachok. Seronok jugak dapat bersembang dan mendengar pengalaman ride masing-masing. Setelah beberapa lama bersembang, kami pun bersalaman sebelum meneruskan perjalanan masing-masing. Menurut mereka, aku ada separuh perjalanan lagi sebelum sampai ke Grik. 

Melalui Tasik Banding.... magnificent view!
Bunker tinggalan perang 
Sebenarnya kawasan sepanjang laluan ini banyak menyaksikan petempuran antara pihak keselamatan dan pengganas komunis sewaktu era insurgensi  satu ketika dahulu. Pihak komunis telah melakukan pelbagai cubaan untuk menyabotaj pembinaan laluan ini yang mana telah mengorbankan banyak nyawa anggota keselamatan dan juga pekerja JKR yang membina laluan ini. Sewaktu menyusuri laluan ini, aku tertarik dengan monumen sebuah kereta perisai condor yang terletak di hadapan sebuah kem tentera disini. 

Berdasarkan pembacaan di plat tugu ini, dataran ini dinamakan sebagai Dataran Juang yang diabadikan untuk mereka yang telah terkorban dalam proses mempertahankan kawasan pembinaan laluan ini dari serangan Komunis. Terdetik di hati aku samada berapa ramai yang peduli untuk berhenti dan ambil tahu tentang kenapa dataran ini wujud. Setelah menyedekahkan Al-Fatihah kepada wira-wira negara yang terkorban, aku pun meneruskan perjalanan.

Daratan Juang ini menjadi tempat peringatan mengenai pengorbanan wira - wira yang tak didendang
Sejam kemudian aku pun tiba dikawasan Gerik, aku tak melalui kawasan pekannya sekadar melalui kawasan kampung yang aku sendiri tak tahu dimana. Yang penting ada stesen minyak untuk mengisi minyak yang sudah kritikal. Waktu ini minyak spare aku masih tak diusik dan aku pun tak bercadang nak berhenti isi tepi jalan selagi termampu. Selepas sampai pekan Gerik aku ingatkan laluan berbukit telah tamat namun bersambung semula di laluan Gerik ke Baling. Bezanya laluan ini melalui celah bukit berbanding naik turun bukit. Paham? haha..aku pun pening. Senang kata laluannya tak mendaki mahupun menuruni bukit. Ketika melalui jalan ini aku memang dah mengantuk dan beberapa kali jugak aku terbabas keatas rumput.

Pukul 2.30petang aku pun tiba di pekan Baling. Perut yang berkeroncong membuatkan aku cepat - cepat mencari kedai makan selain ingin merehatkan minda dan badan. Walaupun boleh dikatakan masa makan tengahari sudah lama lepas, tapi kedai makan yang aku singgah ni masih banyak lauk yang enak. Mendengar orang di kedai makan ini bercakap dalam loghat utara membuatkan aku agak teruja kerana tahu aku semakin dekat dengan rumah.

Menu tengahari... 
Kesilapan aku pada waktu ini adalah makan nasik lauk dengan full blast memandangkan aku dah lapar sangat tadi. Akibatnya, kepala yang dah sememangnya mengantuk menjadi semakin mengantuk. Untuk tidak memburukkan keadaan, aku menuju ke masjid berdekatan setelah selesai makan bagi menunaikan solat jamak dengan harapan dapat menyegarkan badan. 

Motor posmen ni memberi aku idea untuk pengubahsuain seterusnya jika nak lalui trip yang lebih jauh.
Hehehe.
Kalau diikutkan aku nak baring sekejap seperti seorang pak cik di dalam masjid ni yang sedap aja tidur sampai bunyi berdengkur satu masjid tapi apakan daya masa tak banyak sebelum senja dan perjalanan masih jauh. Menyusuri laluan kampung di negeri Kedah ini menampakan aku pada perbezaan ketara antara landskap kampung di sini dan juga di negeri Melaka yang aku lalui tempoh hari. Tak banyak yang aku nak ceritakan disepanjang laluan aku di negeri Kedah ini memandangkan aku melalui laluan yang sama aku lalu sewaktu memulakan journey ini 5hari lepas. 

Pukul 6.20 petang, aku pun melintasi pintu sempadan negeri Perlis menandakan sampai sudah ke negeri kelahiran aku dan juga tempat dimana aku bermula. Ekceli aku tak rasa excited sangat untuk pulang kerana terfikirkan aku akan menjalani kehidupan normal semula.

I'm back !!!!

Kangar, 0 km ...!
Pukul 7.10 petang, aku pun tiba di rumah tempat di mana semuanya bermula. 

Back home.
Apapun, Alhamdulillah dan syukur tidak terhingga kepada Allah s.w.t yang telah memberi peluang dan kesempatan kepada aku untuk melengkapkan misi meneroka sebahagian kecil bumiNYA ini dengan lancarnya tanpa sebarang bencana atau kecelakaan. Perjalanan yang bermula dari impian sehinggalah menjadi kenyataan tak mungkin berlaku tanpa Izin-Nya. Diharap aku berkesempatan untuk melakukan pulak trip Redah 2.0 di masa hadapan.

Home is where you park it..!
1860 KM in 5 days  : )







Share:

04 June 2013

Redah 1.0 : Peninsular Overland Day 5

Perjalanan hari ini adalah yang paling jauh berbanding dengan hari- hari sebelumnya iaitu kira - kira 372KM dan juga merupakan laluan paling exciting. Actually aku pernah melalui laluan dari Kuantan ke Kuala Terengganu beberapa tahun lepas dan masih nampak-nampak lagi suasana laluan melalui pesisir pantai timur.

372 KM untuk hari ini
Memandangkan hari ini hari Isnin, suasana pagi kucar kacir dengan yang dewasa bergegas ke tempat kerja manakala budak - budak beruniform melintas jalan macam itik ke sekolah. Aku menuju ke kawasan Pantai Balok dengan harapan dapat bersarapan di luar dari kawasan bandar yang makin sibuk. Akhirnya aku berhenti di sebuah gerai. Memandangkan aku berada di area pantai timur, maka tidak afdal lah jika tak pekena nasi dagang sebagai sarapan.

Nasi Dagang... memang favourite aku.!
Walaupun Nasi Dagang di gerai ini bukanlah yang paling sedap aku pernah makan namun memadai untuk mengeyangkan perut yang kosong ni. Perjalanan di teruskan tidak lama kemudian.Bagi aku laluan di area Balok ini antara yang paling teruk aku lalui sepanjang perjalan trip ini memandangkan banyak kuari di area ini yang menyebabkan jalan begitu berdebu.

Another great wall... The guard at this quarry keep staring at me and call for his friend when i'm taking this shot. Cabut.!

Selepas kira - kira satu jam perjalanan dalam jarak 50Km dari bandar Kuantan, aku pun tiba di pintu sempadan negeri Terengganu Darul Iman. Terasa pantas namun sebenarnya perjalanan masih berbaki 312km dan aku perlu merentasi negeri ke-5 terbesar di semenanjung.

Sempadan negeri Terengganu Darul Iman
Not sure what species of animal is that but it seem quite dangerous and carnivore obviously. 
Cuaca boleh dikatakan sepanjang trip ini amat menyebelahi aku. Selain dari hujan dan sedikit panas terik pada hari kedua perjalanan, boleh dikatakan baki perjalanan yang lain langit hanyalah mendung. Walaupun cuaca mendung tapi bahang panas dan udara terasa kering sekali ditambah pula berada pada kawasan bergeografi hampir dengan laut.

turn  left to ESC
Sejak dari hari pertama, papan tanda hijau "highway" sering menjadi petunjuk seolah sebagai jalan keluar bagi aku dari meneruskan pengembaraan ini. Untuk hari pertama dan kedua ada juga perasaan ragu-ragu  tetapi tidak lagi untuk hari ke-5 ini.

Tiba di Kerteh, aku singgah sebentar di Stesen minyak Shell memandangkan jarum meter minyak sudah beberapa ketika berada dalam kedudukan bawah dari paras merah. Memula aku terfikir untuk nekad mencari port yang sesuai untuk berhenti dan mengisi minyak menggunakan minyak ajaib yang diusung sejak hari pertama lagi dibelakang aku ni. Namun nasib menyebelahi aku kerana beberapa ketika kemudian aku ternampak papan tanda menunjukkan stesen minyak sudah tidak jauh. Memandangkan aku dalam perjalanan jarak jauh dan akan menghabiskan minyak dalam satu tank penuh setiap 100km, aku terfikir why not aku tidak cuba membuat eksperimen samaada terdapat perbezaan dari segi kuasa antara minyak RON95 yang aku selalu isi dengan RON97. Maka terbanglah Rm10 berbanding RM6 untuk RON95.


Bandar Minyak, Kerteh
Perjalanan mula terasa sangat tidak selesa memandangkan bontot aku mula terasa pedih. Bukan kerana terlalu lama duduk tetapi kerana punggung aku mula ruam. Kan bontot area yang sensitif bak iklan pampers so bila terlalu lama terdedah dengan peluh maka ruam lah ia. Hahaha. Selepas menunggang beberapa ketika aku pun berhenti di stesen Petronas Paka untuk berehat.

Laluan pesisir pantai
Kena pulak masa journey ni jatuh pada waktu tempoh berkempen untuk PRU13, maka amat lah berpinau biji mata sepanjang melalui sesetengah kawasan panas. Selain dari itu dapat juga aku melihat kreativiti hasil DIY para penyokong parti bertanding.

Boleh terkejut beruk jugak kalau ter'high beam' waktu malam..haha
Seingat aku, aku tak pernah tahu kewujudan makanan bernama sata sebelum diperkenalkan oleh member  sewaktu mengunjungi Kuantan pada tahun 2007. Sejak itu, pantang nampak saja sata di pasar malam mahupun bazar Ramadhan, memang akan bawak balik. Pada trip kali ini pekena sata asli pantai timur merupakan salah satu perkara yang tersenarai dalam "Must Do" list. Luckily tak silap aku di area Marang aku terjumpa dengan deretan gerai menjual sata dan keropok lekor.

Memandangkan harga yang jauh lebih murah dari pantai barat, maka aku makan sebanyak mungkin. 
Seriously cuaca sangat panas ditambah aku makan tanpa membuka jaket. Ketika ini aku sangat risau dengan 4liter minyak petrol di belakang aku tuh. Tak tahu sepanas mana ia boleh tahan. Tak pasal nanti aku senasib dengan ikan yang menjadi sata ni. Next stop ialah Bandar Kuala Terengganu.

Another east coast cuisine i guess? 
Jam menunjukkan pukul 2.50 pm ketika aku tiba di Kuala Terengganu di mana aku mengambil keputusan untuk berhenti rehat, mandi dan sembahyang di sebuah masjid. Terlupa pula nama masjid ini tetapi tidak jauh dari Masjid Tengku Zaharah.

kenapa pak cik2 masjid mesti muka straight face ? 
Selesai solat aku terus meneruskan perjalanan yang masih berbaki 162km dan apa yang sedikit merunsingkan aku ialah aku tidak membuat apa-apa tempahan di mana-mana motel. Oh ya, ada aku mention bab passport? ekceli aku juga mempunyai option untuk pulang melalui selatan Thailand dari Tumpat ke Padang Besar yang boleh menjimatkan 2-3jam perjalanan namun dari keadaan keselamatan di sana yang baru kelmarinnya berlaku lagi letupan bom dijalanan, maka Jalan Grik adalah lebih afdal. Lagipun trip ini bertujuan untuk overland semenanjung Malaysia dan ditambah aku tak pernah lagi melalui Jalan Grik yang menghijau tuh, maka tiada sebab untuk aku tidak mencuba.

Pantai Kelulut, Terengganu...! Perlis why you no beach!!!!
Melalui Pantai Kelulut, Terengganu membuatkan aku terasa hendak menamatkan perjalanan aku pada hari ini disini saja memandangkan view pantainya yang mempersonakan. Namun apa yang membuatkan aku tidak  suka dengan trip ini adalah masa yang singkat dan aku tak boleh nak detour lagi dari plan asal. Maka good bye Pantai Kelulut, till next time...

what a view ...
Aku tak sedar yang aku sudah memasuki Kelantan selepas melalui suatu batu penanda yang hanya tertulis ALLAH dan MUHAMMAD memandangkan kesemua negeri yang aku telah lalui akan mempunyai papan tanda bertulis Selamat Datang ke Negeri sekian-sekian. Selepas memerhatikan papan tanda kedai di sekeliling yang tertulis negeri Kelantan maka aku berpatah balik ke batu penanda tersebut.

11th states of Malaysia dan juga merupakan negeri terakhir dalam list aku. Di saat ini terasa sungguh bangga kerana misi peribadi telah tercapai.
Apa yang menarik mengenai tanda sempadan ini adalah terdapat sebuah kedai yang terletak di tepi tembok tersebut. Aku tak pasti pada negeri mana mereka belong... Dihadapan kedai itu pula terdapat 4 orang makcik yang tengah bersembang disamping anak-anak kecil mereka yang tengah bermain disitu   sambil memerhatikan aku dengan curious. Mungkin bukan selalu orang berhenti bergambar disitu. Sebelum berlalu ke motor aku sempat melambai kepada budak-budak itu dan dibalas dengan senyuman malu-malu.

Azan maghrib telah mula berkumandang ketika aku sampai di Bachok dan keadaan aku ketika ini amatlah penat dan lapar. Pada ketika ini aku telah pun bertekad untuk bermalam di Kota Bharu aja. Selesai mengisi minyak di Petronas Bachok aku pun mengikut pandu arah GPS yang telah ditetapkan ke Bandar Kota Bharu. Dalam perjalanan aku singgah untuk makan malam di sebuah kedai yang aku tak tahu dimana lokasi nya. Dinner aku untuk malam ini adalah nasi ayam. Walaupun makan sorang, kakak menjual nasi ayam ini amatlah ramah mengusik aku selepas mengetahui yang aku ni bukan orang kelantan berdasarkan dialek utara aku.Hahaha..

Sewaktu makan ini juga aku megetik-getik GPS untuk melihat hotel bajet yang terdekat sebelum terjumpa  dengan sebuah bajet hotel yang terletak hanya 5km dari sini. Selepas makan dan mengucapkan selamat tinggal kepada akak nasi ayam, aku pun menuju ke hotel bajet tersebut dengan suspen (Nama tak ingat sebab buku note catatan aku takda dekat aku sekarang yang pasti ada bunyi Islamik). Hotel bajet tersebut merupakan banggunan 3 tingkat yang terletak di tepi jalan. Aku pun kemudian bertemu dengan receptionist yang bertugas dan request untuk melihat bilik untuk seorang tetapi sebenarnya bilik disini yang paling cikai pun berkatil queen size berserta extra bed. Kalau ikutkan hati aku rasa macam nak try cari hotel lain kerana rasa tidak selesa dengan suasana sekeliling namun terpaksa terima aja kerana badan dah tersangat letih. Rate untuk bilik yang aku tinggal adalah rm60 untuk satu malam. Lega juga melihat bilik sebelah dihuni oleh satu family so takda la aku sorang saja disini.

saja aja penuhkan katil single disebelah, tak pasal ada teman beradu pulok nanti..haha

Share:

16 May 2013

Redah 1.0 : Peninsular Overland Day 4

Kesejukan aircond bilik dorm aku membuatkan aku terjaga awal sebelum sempat alarm clock handphone  berbunyi. Nak bangun tutup aircond kang marah pulak roomate aku yang lain jadi aku hanya mampu mengubah posisi dan cuba meng"krekot" badan dalam bentuk fetus serapat mungkin. Selepas beberapa kali terlelap dan bangun, aku akhirnya mengambil keputusan untuk bangun dan mandi memandangkan sejuk yang dah terlampau lagipun jam pun dah nak masuk waktu subuh.  Aku tak pasti samada katil ni diperbuat daripada besi atau buluh muda sebab dia punya goyang mengalah tongkang dibadai ombak. Mau mabuk katil aku kalau orang bawah kerja beralih tidur.

Sesudah mandi dan menunaikan solat, aku pun mengemas backpack aku didalam gelap dengan cermat untuk tidak menganggu tidur roomate . Nasib baik aku ada install application torch light didalam handphone, dapat jugak buat suluh-suluh. Turun aja ke lobi, aku terpaksa kejutkan staff perempuan Galvanize sorang ni yang tidur di bilik bawah. Dia ni sorang aja lah staff Galvanize yang berinteraksi dengan aku pon. Aku tak tahu macam mana nak masuk Galvanize ni kalau balik lewat sebab pintu berkunci. Berdasarkan pengalaman sudah bermalam di Hostel, selalunya kami diberi kad touch untuk keluar masuk premis. Selepas staff tersebut membuka pintu, aku pun memulangkan kunci locker dan menuju ke motor.

Perjalanan hari ini adalah dari Melaka ke Kuantan melalui Jasin - Jementah - Segamat - Bandar Tun Razak - Muadzam Shah, kira-kira 280Km.

Jam menunjukkan pukul 6.45am. Kota Melaka masih sunyi berbeza dengan kemeriahan malam semalam. Tiada orang kelihatan di lorong - lorong jalan melainkan pakcik surat khabar dan beberapa pekerja yang kelihatan baru membuka kedai makan . Aku suspek pada zaman Kesultanan Melaka dulu pun Hang Tuah belum bangun lagi waktu - waktu cenggini. Sewaktu aku tengah packing barang keatas motor, entah dari celah mana muncul seekor anjing keluar dari celah banggunan dan duduk memerhatikan aku. Tak pasti samada tuh anjing penjaga Hard Rock Cafe ataupun bukan, aku cuma buat-buat tenang dan berdoa didalam hati. Kot la anjing tuh suspek aku nak curi motor terus torkam aku tanpa usul periksa dan perikebinatangan. Selepas beberapa ketika anjing tuh pun blah, tetapi muncul semula dari arah lain beberapa minit kemudian. Aiseh!Aku terus buat tak endah tanpa cuba menganjingkannya dan meneruskan kerja packing. Kalau dia torkam memang aku hempuk dengan givi box ni. Hahaha. Sudah aja packing, aku pun start motor dengan destinasi pertama, Kota A'Famosa.

Lengang...

Serius ketengan pagi di Kota Melaka ni membuatkan aku terasa macam nak joging keliling pekan ni pun ada tapi tiada masa untuk aktiviti tersebut melainkan di kejar anjing Hard Rock tadi. Dalam menunggang menuju Kota A'famosa, entah macam mana aku boleh lost tercari-cari di mana kota tersebut sebab aku bajet ia terletak bersebelahan Gereja merah tuh. Akhirnya aku terlepas sehingga ke Dataran Pahlawan. Percubaan kali kedua menemukan aku dengan tapak bersejarah tersebut selepas mengekori sebuat motor penghantar surat khabar. Ekceli kawasan tersebut kenderaan tak boleh masuk tapi mungkin kerana masih pagi maka undang-undang pun agak longgar. Parking aja depan monumen A'Famosa, aku dikejutkan dengan bunyik wisel. "Sudah, ni mesti dah nak kena halau ni" getus aku dalam hati. Aku just ignore bunyi tersebut dengan harapan boleh cepat-cepat ambil gambar sebelum kena halau. Tiupan kali kedua kedengaran. Aku yang belum sempat nak snap sebarang gambar pun berpusing-pusing mencari sumber. Dalam keadaan sedikit cemas dan tengah menyusun kata-kata rayuan, akhirnya sumber wisel dikenal pasti. Rupa-rupanya tiupan wisel tersebut adalah dari instructor satu group aerobic berdekatan. Ceh! Bikin gua terkejut aja.

Kalau zaman dulu mungkin orang parking kuda aja depan ni.
Agak sentimental juga melihat monumen bersejarah dan mesin jentera yang membawa aku jauh ke sini. Kalau ikutkan hati nak aja aku ambil gambar motor betul - betul depan pintu Afamosa tuh tapi kebarangalian nak kena maki sangat tinggi. Misi seterusnya adalah mencari kedai makan untuk bersarapan kerana last sekali aku makan ialah hampir 13 jam lepas. Memandangkan aku tak rasa ada kedai makan melayu berdekatan bandar hilir ni maka aku meneruskan perjalanan melalui jalan yang telah di setkan di GPS dengan harapan akan terjumpa kedai di laluan tersebut. Plan untuk trip hari ini ialah ke Kuantan melalui Segamat Johor. Selepas menunggang hampir 30 minit aku pun berhenti di sebuat kedai makan melayu ala-ala warung yang boleh tahan ramai juga pengunjung. Namun dalam ramai-ramai dapat juga aku mengambil tempat di satu meja kosong. Pagi ni pun aku order makanan yang jarang-jarang aku makan iaitu roti canai sebanyak dua keping. Sumpah aku sangat jarang makan roti canai apatah lagi dua keping. HUH! Dek kerana customer yang makin datang lebih ramai dari yang balik, maka dapatlah aku partner semeja. Kalau situasi begini berlaku 300 tahun lepas dibumi Melaka, mungkin kami akan bertanya khabar sambil masing-masing mengurut misai dan memperbetulkan keris yang tersisip rapi dipinggang tapi oleh kerana sekarang tahun 2013, maka kami hanya tunduk melayan skrin sesentuh handphone masing-masing.

2biji x 300kalori = roti canai garing terbaek..
Selesai mengisi perut, aku pon menyambung semula perjalanan yang masih jauh. Suasana jalan raya di Melaka kurang sibuk kerana faktor hari Ahad dan kerana aku tengah menuju keluar dari kawasan bandar. Baru beberapa belas kilometer bergerak, aku singgah sebentar ke sebuah Stesen minyak Petronas dengan tujuan untuk menulis nota kecil kawasan yang akan dilalui sebelum ditempekkan ke meter motor agar aku tak ditipu GPS kelak. Bukan apa, kekadang GPS akan bawak kita melalui jalan yang merapu. Sewaktu sibuk melekatkan nota sebesar 'toyol' exam, seorang kanak-kanak yang entah dari mana muncul datang menanyakan pada aku "apa menda ni bang?" sambil menunjuk nunjuk kearah alat GPS. Aku pun dengan penuh senyuman sebab ada jugak orang nak berborak dengan aku pun menjawab " GPS ni dik, untuk tunjukkan jalan tempat kita nak pergi. So takkan sesatlah.". Budak itu pun membulatkan bibir sambil menjawab "oOoOoO" dengan muka buat-buat paham sebelum tersenyum dan berlalu pergi.Haha. Banyak juga mata-mata kelihatan memandang pelik kehadiran aku, jadi sebelum ditemuramah oleh peminat seterusnya sehingga barangkali tertubuh fan club, maka aku terus bergerak meninggalkan stesen tersebut.

Masuk area Jasin, aku disajikan dengan pemandangan yang sungguh cantik. Melalui kawasan perkampungan dengan design rumah-rumah kampung yang klasik. Kalau dilihat, rumah kampung di area Melaka dan Negeri Sembilan mempunyai beberapa persamaan dari segi reka bentuk dan saiz. Seakan - akan mempunyai tema dan trademark tersendiri yang ternyata begitu berbeza dengan rumah -rumah kampung di Utara yang nak kotemporori tak kotemporori. Suasana redup dan cuaca pagi yang masih dingin turut menambahkan lagi pesona perjalanan.

Ini bukanlah rumah tercantik tapi rumah ni ja yang line clear nak ambil gambar pun. Sekadar gambaran.
Kira- kira 15 kilometer kemudian, masuklah aku ke negeri paling selatan di semenanjung Malaysia iaitu daerah Tangkak, Johor. Walaupun kalau diikutkan peta, aku sedikit menipu sebab tak betul - betul sampai hingga area paling selatan Johor namun sekurang - kurangnya dapat jejak di bumi Johor pun jadi lah. Kalau ikut perancangan asal aku akan cross negeri Johor melalui Kluang sebelum bermalam di Mersing tapi disebabkan berlaku sedikit lencongan dari plan asal dimana aku singgah bermalam di KL, maka aku terpaksalah mempercepatkan plan dengan hanya melalui Johor sebelum bermalam di Kuantan, Pahang.

From north to south
Perjalanan melalui bandar Tangkak amat mengasyikan dimana aku melalui kawasan ladang sawit dan berlatar belakang kan Gunung Ledang. Jalannya agak kecil dan kenderaan semua laju-laju. Banyak kali juga aku kena betul - betul ke sisi jalan untuk memberi laluan kepada kenderaan lain. Sewaktu hendak berhenti untuk mengambil gambar di bawah, aku telah di hon beberapa kali oleh sebuah kereta Proton waja yang berada di belakang. Aku pun pusing dengan muka "Apa hal bro !!!" sebelum kereta itu pun berlalu pergi. Beberapa ketika kemudian dalam perjalanan baru aku teringat yang aku ada lekat sticker 'HONK FOR HI' kat belakang. Hahaha..Sori ya bro...saya memang garang.

Jalan ke kaki Gunung Ledang dan sayangnya aku tiada masa untuk singgah. Next time..

Laman Puteri Gunung Ledang bermain ketika kecil. 
Minyak telah pun berada di paras kritikal semasa melalui Bandar Segamat maka untuk tidak menganggu kelancaran perjalanan aku berhenti isi siap-siap di Shell Segamat.

Somewhere in Segamat
Pukul 12.20pm, aku pun sampai di sempadan negeri Pahang. Terasa pantas sungguh aku cross Johor mungkin next time kalau ada rezeki aku akan cuba redah sampai tambak pulak dan pekena roti dhal.

Disambut oleh udang galah Rompin.. Here i'am, Pahang.
Perjalanan diteruskan melalui Muadzam Shah. Tiada apa yang menarik untuk diceritakan disepanjang laluan melainkan cuaca agak terik di samping konvoi Superbike berpusu-pusu memotong aku dengan penuh bergaya. Takpa, aku slow and steady layan view. Begitulah sedikit kata-kata memujuk hati. Haha.

Lurus ja jalan.. ZzZZz

Pokok apa yang renek tuh aku pun tak pasti tapi susunannya cantik macam ladang BOH cameron. 

Kucing Hutan... RIP
Aku tak masuk pon pekan Muadzam sebab tengok gaya macam kena melencong jauh. Dengan cuaca yang agak panas dan kering, aku mengikut sahaja jalan berdasarkan nasihat dan pedoman GPS. Aku hanya singgah sebentar untuk mengisi minyak di Shell Muadzam sebelum meminta kakak aku bookingkan satu bilik di sebuah budget hotel di Kuantan. Berdasarkan result di AGODA.COM hanya terdapat dua budget hotel berdekatan bandar maka akhirnya UB Inn menjadi destinasi aku.

Kira - kira pukul 5 petang aku pun sampai di Bandar Kuantan. Sewaktu melalui Pangkalan Udara TUDM Kuantan jalan agak sesak memandangkan ATM sedang mengadakan open day. Perut aku dah berbunyik - bunyik dan waktu ni jugak motor aku pun dahaga minyak tahap kritikal. Mahu tak mahu kena isi minyak dahulu sebelum menapau makan.


Kuantan, Pahang

Hampir setengah jam jugak aku sesat nak cari UB INN ni sebelum aku sampai dengan selamat. Rupanya  UB  INN terletak betul - betul berhampiran Padang Majlis Perbandaran Kuantan, tempat aku pernah di bawa lepak oleh seorang member MMU satu masa dahulu. Ketika itu terdapat puluhan motosikal berkuasa tinggi tengah tersusun di parking padang MPK yang mana aku suspek tuh brader-brader yang potong aku tadi.

UB INN ni merupakan sebuah budget hotel yang dinamakan sempena nama Jalan Ubi, lokasi hotel ini berada. Harga yang aku dapat satu malam dari agoda adalah RM58. Walaupun kelihatan seperti rumah pelacuran, tapi overall berbaloi dengan harga dan sesuai bagi mereka yang just nak buat rehat dan tidur. Bilik bersih cuma bau sedikit hampeh.

gambar bilik tanpa lens wide view. So boleh bayang saiz bilik besar mana?
Lepas membersihkan diri dan makan sambil layan tv lcd di dinding, perasaan mengantuk dan letih tadi tiba - tiba hilang. Memandangkan jam baru menunjukkan pukul 6.30 petang, aku pun mencapai kamera dan kunci motor dan keluar bersiar - siar melihat pekan Kuantan dan Teluk Chempedak. Menunganggang motor di petang hari adalah antara perkara yang menenangkan bagi aku. Tapi kalau dekat KL memang lain la feeling dia. Sampai teluk cempedak, kawasan tersebut sangat sesak dengan pengunjung yang memanfaatkan hari minggu untuk beriadah. Banyak juga perubahan yang aku dapat lihat berbanding kali terakhir aku ke sini 2 tahun lepas. Disesabkan terlalu ramai orang, aku cancel aja plan nak berhenti dan terus menyusuri laluan sekitar.

Istana Mahkota Pahang, Teluk Cempedak.

Ended up berhenti disebuah kawasan pantai yang kurang pengunjung. Tak ingat apa nama tempat ni.
Hari makin gelap di mana kelihatan burung - burung pun tengah on the way balik ke sarang masing - masing maka aku pun mengambil pendekatan serupa.

Senja di Kuantan
Pada sebelah malam, aku keluar sekali lagi dengan niat mencari kedai makan namun selepas puas tawaf sekitar bandar hampir sejam, aku gagal mencari kedai makan yang kena dengan selera tekak. Kalau ada partner nak juga aku pekena Ikan Bakar pantai namun memandangkan sorang-sorang, aku akhirnya hanya membeli cikedis di stesen Petronas betul-betul sebelah UB INN dan naik ke hotel. Risau juga parking motor hanya di tepi kaki lima banggunan. Aku hanya berdoa agar tiada musibah belaku dan sesungguhnya doa seorang musafir adalah mustazab.
Share: