19 June 2013

Redah 1.0 : Peninsular Overland Day 6

Perasaan bangun pagi ditempat asing dan tertanya - tanya dimana kita berada memang seuatu yang mengujakan. Aku menuju ke tingkap untuk melihat suasana pagi di luar memandangkan sewaktu aku check in semalam dah gelap. Selepas mandi, sembahyang dan mengemas barang, aku pun turun mendapatkan motor yang disimpan di dalam stor hotel. Thanks untuk brader receptionist yang concern dan benarkan aku parking di situ. Sambil menyusun barang keatas motor, aku berbual - bual dengan brader receptionist tersebut yang kelihatan masih mamai.

Misi seterusnya adalah mencari kedai makan untuk bersarapan. Sepanjang perjalanan ini tak pernah lagi aku bangun dengan perut tak lapar. Aku hanya mencari kedai makan yang berada di dalam laluan aku yang tengah menuju keluar dari bandar Kota Bharu kearah Pasir Puteh untuk tidak membuang masa. Hujan renyai - renyai ketika ini dan kenderaan makin sesak menuju ke pusat bandar. Masing - masing sibuk nak pergi kerja and here i'm loitering. Haha.

Selepas beberapa minit menunggang sambil mata meliar bak helang melihat sekeliling, aku pun ter-detect sebuah kedai makan yang menepati kriteria aku iaitu pelanggannya tak terlalu ramai mahupun terlalu kurang. Tak terlalu ramai kerana aku tak suka nak makan di tempat yang sesak manakala kalau terlalu sedikit pula sah - sah kedai tersebut tak sedap.Hehehe.. Sebenarnya sebelum aku sampai di kedai makan ini, aku ada spot satu kedai makan style kampung tapi mempunyai tempat duduk seolah di bar. Paham maksud aku? kira makan duduk mengadap tukang bancuh air yang tengah bancuh air. Stylo! Tapi ramai sangat.

Tak kena kalau berada di Pantai timur tapi tak sarapan menu diatas ni.
Kalau diikutkan nak aja aku bersarapan Nasi Dagang hari - hari tapi memandangkan aku dah nak balik utara, maka lebih baik hari ini aku mencuba Nasi Kerabu pula. Oh ya, sebagai peminat nasi dagang, banyak kali juga sebelum ini aku membeli di pasar malam di utara ataupun KL namun tak pernah langsung terdetik nak mencuba nasi kerabu yang selalunya berpartner dengan nasi dagang ni. Namun satu peristiwa dimana aku mengikuti rombongan Persatuan Silat Cekak Hanafi MMU ke Kelantan satu ketika dahulu membuka selera aku kepada nasi kerabu ini walaupun still tak dapat melawan rasa nasi dagang. Tuh pun kes lapar dan takda pilihan kerana kami dijamu nasi kerabu bungkus ketika itu.

Sewaktu aku berdiri menunggu turn nak ambil lauk, aku sempat menegur seorang nenek ni yang tengah membakar ayam di sebelah. Aku tanyalah ayam bakar ni makan dengan apa sebab setahu aku nasi dagang dengan ikan tongkolnya dan nasi kerabu dengan ikan gorengnya. Nenek tersebut yang perasan aku bukan orang kelate cuba memberi jawapan dengan sebaku mungkin. Hahaha.
Perjalanan di hari keenam ini akan membawa aku menunggang skuter sejauh 399km iaitu Kota Bharu - Jeli - Gerik - Baling - Gurun - Alor Setar dan akhirnya tempat aku bermula, Kangar
Perjalanan diteruskan menuju ke Jeli.  Apa yang aku kagum dengan negeri Kelantan ini adalah penekanan pada penggunaan tulisan Jawi pada billboard dan signboard di setiap premis perniagaan. Aku berharap sangat agar dapat melihat negeri- negeri lain mengikut jejak langkah yang sama kerana tulisan jawi semakin lama semakin pupus digantikan tulisan bahasa asing walhal itulah tulisan kemegahan Tanah Melayu satu ketika dahulu. 


Bunyinya sungguh black metal
Suasana pagi yang masih dingin ditambah dengan cuaca mendung berlatar belakangkan pula suasana kampung memang menarik bagi aku lah. Sampai di area Jeli, aku berhenti di stesen Petronas untuk mengisi minyak memandangkan dengar cerita tiada stesen minyak dilaluan hutan Jeli - Gerik nanti. Selain mengisi minyak, aku turut mengambil kesempatan mengisi perut dengan keropok ikan kelate bersama minuman tenaga tidak rasmi, Redbull, bertemankan seorang kontraktor Kelas A kalau dari gaya percakapan telefonnya. Petronas Jeli bagi aku dah macam Mini R&R dek kerana fasiliti dan kedai mesranya yang serba lengkap.


First time aku tengok kedai Mesra Petronas yang dah macam mini supermarket.
Berdasarkan bacaan diinternet, jalan Jeli - Gerik ini memang di kelilingi hutan berbukit tanpa penempatan manusia. Aku banyak -banyak berdoa agar skuter aku ni tak buat perangai di laluansebegini.


here we go....! 
YeEhAaaaa! Konon laju..
Berdasarkan bacaan di internet juga, aku ada terbaca yang gajah gemar baring atas tar jalan ni malam - malam memandangkan tar jalan memberikan mereka haba panas.

Bukan selalu nak jumpa signboard ni apatah lagi menatangnya
Melalui sebuah R&R tapi dari pandangan mata kasar tengok macam ditinggalkan aja.
Tak pasal mee goreng bertukar jadi cacing..huhu
Seakan - akan terowong litar F1 Monaco tuh..
Bayangkan kalau motor rosak kat sinii... pergh..!
The real R&R
Setelah hampir sejam setengah melalui kawasan berbukit, aku pun berhenti di R&R Banjaran Titiwangsa. Walaupun sekarang dah tengah hari, tapi suasana diatas ni masih dingin. Aku mengambil kesempatan untuk berhenti minum dan makan kuih yang aku sempat tapau di kedai nasi dagang pagi tadi. Memang layan makan sambil melihat view di tebing gaung. Sambil melepak kelihatan jugak sorang brader tengah melayan sebatang rokok di hujung tebing.

 Memandangkan motor kami diletakkan berhampiran, aku pun seperti biasa buat-buat ramah memulakan perbualan sewaktu brader tersebut datang ke motornya. Dalam borak-borak tahulah aku yang brader ni orang kelantan yang on the way balik Kelantan dari Sik, Kedah. Aku pun cerita serba sedikit tentang journey yang telah aku tempuhi. Tak lama kemudian kami disertai seorang lagi brader dari Kedah yang on the way pulang ke pusat pengajiannya di Bachok. Seronok jugak dapat bersembang dan mendengar pengalaman ride masing-masing. Setelah beberapa lama bersembang, kami pun bersalaman sebelum meneruskan perjalanan masing-masing. Menurut mereka, aku ada separuh perjalanan lagi sebelum sampai ke Grik. 

Melalui Tasik Banding.... magnificent view!
Bunker tinggalan perang 
Sebenarnya kawasan sepanjang laluan ini banyak menyaksikan petempuran antara pihak keselamatan dan pengganas komunis sewaktu era insurgensi  satu ketika dahulu. Pihak komunis telah melakukan pelbagai cubaan untuk menyabotaj pembinaan laluan ini yang mana telah mengorbankan banyak nyawa anggota keselamatan dan juga pekerja JKR yang membina laluan ini. Sewaktu menyusuri laluan ini, aku tertarik dengan monumen sebuah kereta perisai condor yang terletak di hadapan sebuah kem tentera disini. 

Berdasarkan pembacaan di plat tugu ini, dataran ini dinamakan sebagai Dataran Juang yang diabadikan untuk mereka yang telah terkorban dalam proses mempertahankan kawasan pembinaan laluan ini dari serangan Komunis. Terdetik di hati aku samada berapa ramai yang peduli untuk berhenti dan ambil tahu tentang kenapa dataran ini wujud. Setelah menyedekahkan Al-Fatihah kepada wira-wira negara yang terkorban, aku pun meneruskan perjalanan.

Daratan Juang ini menjadi tempat peringatan mengenai pengorbanan wira - wira yang tak didendang
Sejam kemudian aku pun tiba dikawasan Gerik, aku tak melalui kawasan pekannya sekadar melalui kawasan kampung yang aku sendiri tak tahu dimana. Yang penting ada stesen minyak untuk mengisi minyak yang sudah kritikal. Waktu ini minyak spare aku masih tak diusik dan aku pun tak bercadang nak berhenti isi tepi jalan selagi termampu. Selepas sampai pekan Gerik aku ingatkan laluan berbukit telah tamat namun bersambung semula di laluan Gerik ke Baling. Bezanya laluan ini melalui celah bukit berbanding naik turun bukit. Paham? haha..aku pun pening. Senang kata laluannya tak mendaki mahupun menuruni bukit. Ketika melalui jalan ini aku memang dah mengantuk dan beberapa kali jugak aku terbabas keatas rumput.

Pukul 2.30petang aku pun tiba di pekan Baling. Perut yang berkeroncong membuatkan aku cepat - cepat mencari kedai makan selain ingin merehatkan minda dan badan. Walaupun boleh dikatakan masa makan tengahari sudah lama lepas, tapi kedai makan yang aku singgah ni masih banyak lauk yang enak. Mendengar orang di kedai makan ini bercakap dalam loghat utara membuatkan aku agak teruja kerana tahu aku semakin dekat dengan rumah.

Menu tengahari... 
Kesilapan aku pada waktu ini adalah makan nasik lauk dengan full blast memandangkan aku dah lapar sangat tadi. Akibatnya, kepala yang dah sememangnya mengantuk menjadi semakin mengantuk. Untuk tidak memburukkan keadaan, aku menuju ke masjid berdekatan setelah selesai makan bagi menunaikan solat jamak dengan harapan dapat menyegarkan badan. 

Motor posmen ni memberi aku idea untuk pengubahsuain seterusnya jika nak lalui trip yang lebih jauh.
Hehehe.
Kalau diikutkan aku nak baring sekejap seperti seorang pak cik di dalam masjid ni yang sedap aja tidur sampai bunyi berdengkur satu masjid tapi apakan daya masa tak banyak sebelum senja dan perjalanan masih jauh. Menyusuri laluan kampung di negeri Kedah ini menampakan aku pada perbezaan ketara antara landskap kampung di sini dan juga di negeri Melaka yang aku lalui tempoh hari. Tak banyak yang aku nak ceritakan disepanjang laluan aku di negeri Kedah ini memandangkan aku melalui laluan yang sama aku lalu sewaktu memulakan journey ini 5hari lepas. 

Pukul 6.20 petang, aku pun melintasi pintu sempadan negeri Perlis menandakan sampai sudah ke negeri kelahiran aku dan juga tempat dimana aku bermula. Ekceli aku tak rasa excited sangat untuk pulang kerana terfikirkan aku akan menjalani kehidupan normal semula.

I'm back !!!!

Kangar, 0 km ...!
Pukul 7.10 petang, aku pun tiba di rumah tempat di mana semuanya bermula. 

Back home.
Apapun, Alhamdulillah dan syukur tidak terhingga kepada Allah s.w.t yang telah memberi peluang dan kesempatan kepada aku untuk melengkapkan misi meneroka sebahagian kecil bumiNYA ini dengan lancarnya tanpa sebarang bencana atau kecelakaan. Perjalanan yang bermula dari impian sehinggalah menjadi kenyataan tak mungkin berlaku tanpa Izin-Nya. Diharap aku berkesempatan untuk melakukan pulak trip Redah 2.0 di masa hadapan.

Home is where you park it..!
1860 KM in 5 days  : )







Share:

1 Rangsangan:

Time Traveller said...

part ni aku rasa paing best.. sebab tak ramai orang lalu dari perlis ke kota bharu macm ko buat ni..

patut la banyak bende best ko snap.. singboard gajah la..dan R&R mee tukar cacing tu memang famous ooo.. jgn buat main :P

Tasik Banding??? lawa tu.. tak nah dgr lagi.. ada resort msti best :D
Dataran Juang.. kene pi ni.. semangat hari merdeka masih ada..

Posmen tu nyer idea mmg best.. tapi tak de jual..kene buat sendiri :P