01 October 2018

REDAH 4.0 : DAY 4 POKHARA - KALOPANI PART 2

Perkara pertama yang aku lakukan setelah Check In adalah on WiFi. Sepanjang perjalanan selepas Tatopani tadi boleh dikatakan tiada lagi line telefon. Aku dah agak mesti bini aku dah risau amat dan amat benar sekali. Hahaha. WiFi sangat lembap, sekadar mampu guna untuk Whatapps sahaja. Tapi jadilah dari tak ada kan. 

Bilik di Kalopani Guesthouse sangat simple tetapi bersih dan kemas. Syukur sungguh aku terjumpa tempat ni kerana selepas 9 jam perjalanan dari Pokhara tadi, apa yang aku mahu hanyalah tempat bersih untuk berlabuh. Selepas solat, aku terus keluar dari bilik dan melepak di laman Guesthouse untuk melihat suasana matahari terbenam.

Subhanallah amat cantik sekali suasana disini. Dikelilingi gunung -gunung yang bersalji. Mamat penjaga kaunter tadi datang menyapa ketika aku melepak sorang-sorang layan view. Dia menunjukkan aku satu persatu nama puncak-puncak gunung yang mengelilingi Kalopani Guest House. Aku tak ingat semua, yang pasti salah satunya adalah Annapurna. Kalopani ni hanyalah satu pekan kecil. Hanya ada beberapa buah banggunan rumah dan kedai. 





Sewaktu senja melabuhkan tirai, aku masuk kembali ke dalam bilik untuk mandi. Alangkah sejuknya selepas aku membuka baju. Airnya apatah lagi. Sejuk amat. nasib baik ada hot shower tapi terasa panas jika aku berada dibawah pancuran, keluar sedikit sahaja dari pancuran air panas, terus rasa nak beku. Hahaha. Baru aku tahu kenapa selimut disini dah tebal seperti Toto Narita. 


Selepas mandi dan solat, aku keluar menuju ke Cafe guest house. Banggunan bilik dan cafe berasingan jadi aku perlu meredah suasana sejuk malam dan angin gunung yang sejuk hingga mencengkam tulang. Suhu malam akan turun serendah 10°C. Suasana Cafe aka Lobby Guesthouse amat selesa sekali. Ada 3-4 orang mat salleh yang tengah melepak.

Ntah kenapa bila travel naik motosikal jauh-jauh ni selera makan aku akan berkurang tapi kalau ada selera pun, bukan ada benda sangat yang aku boleh makan di Cafe ni. Aku hanya order kentang goreng dan air teh. Rate makanan disini agak mahal tetapi aku faham lah kenapa mahal selepas melalui laluan offroad yang mencabar. tadi. 

Sewaktu aku check in tadi, ada sorang hikers dari Spain, Juan, menyapa aku bertanya rate bilik guesthouse sebelum dia juga pilih untuk berlabuh disini juga. Melihat Juan tengah lepak makan sorang-sorang di satu sudut, aku pun join. Juan ni cerita yang dia baru di retrench kerja di Kilang membuat van Mercedes, jadi sepanjang waktu menganggur ni, dia ambil keputusan untuk travel ke India dan Nepal. Ada la jugak member untuk aku berborak malam ni. 

Yang tengah makan sorang-sorang tu Juan
# bercuti di nepal 2018 # bercuti di nepal # pengembaraan di nepal # percutian ke nepal # cuti cuti nepal # sewa motor nepal # tips ke nepal # adventuretouringmalaysia 
Share:

29 September 2018

Redah 4.0 : Day 4 Pokhara - Kalopani Part 1

Semalam aku ada tersempak dengan seorang brader cina di lobi yang memakai baju VIPER CHALLENGE . Aku 'cam' baju tu kerana aku juga peserta 5x Viper Challenge sebelum ni. Kebetulan kami berselisih di pintu hotel, aku secara automatik terus bertanya "orang Malaysia?" , brader tu pun sekadar mengiyakan dan aku pon sekadar cakap yang aku pun dari Malaysia sebelum senyum dan masing-masing berlalu pergi.

Pagi ni sewaktu aku turun ke motor untuk packing barang, kelihatan brader tu bersama groupnya juga turut sama sedang packing barang ke dalam jeep mereka. Apabila dia nampak aku, aku perasan dia bisik sesuatu kepada rakan-rakanya sebelum beberapa orang datang kepada aku yang tengah sibuk mengikat beg ke pelana belakang motor. Mereka teruja bila tahu aku orang Malaysia yang travel solo dengan motor di Nepal. Tak pasal aku jadi famous untuk seketika apabila mereka satu group datang nak berfoto dengan aku dan motosikal.


Perjalanan aku pada hari ini adalah untuk ke Beni yang terletak kira-kira 100 Km dari Pokhara. Aku dimaklumkan yang episod offroad akan bermula dari Beni ke Muktinath tapi sebenarnya bagi aku jalan didalam Bandar Kathmandu pun dah serupa jalan offroad. Haha. 

Aku bersarapan dulu di Lazeez kerana rasanya dah takkan jumpa kedai makanan Halal selepas ni. Jam 8.30 am, aku pun memulakan perjalanan. Baru beberapa kilometer bergerak dari Lazeez, aku dah terpaksa menempuh jalan "offroad" dek kerana laluan jalan sedang dinaiktaraf. Nak tak nak kena redah laluan batu kerikil yang agak "loose". 




Yang mudahnya jalan di Nepal ni, boleh dikatakan hanya ada satu sahaja jalan ke mana-mana destinasi utama, jadi tak pening sangat nak melihat suggestion jalan dari google map. Untuk ke Beni aku menggunakan Pokhara Baglung Highway yang mana highway lebih kepada roughway. 


Sewaktu melalui Simpani, terdapat satu sekatan jalan raya oleh pihak Polis. Aku dengan sopannya berhenti ke tepi apabila melihat pegawai polis tengah menyoal beberapa penunggang motosikal. Hampir seminit juga aku menunggu tapi takda mana-mana anggota polis yang datang pada aku. Aku dah mula blur. Dalam masa sama, aku nampak penunggang-penunggang motosikal yang lain hanya meredah sekatan tanpa berhenti. Setelah beberapa ketika, aku pun turut blah dari sekatan tu tanpa siapa-siapa peduli. Haha. Aku suspek bebudak yang kena tahan tu sebab tak pakai helmet.

Perjalanan dari landskap kota mula berubah kepada pekan kecil sebelum kelihatan rumah-rumah kampung berderetan di lereng bukit. Aku mula melalui laluan mendaki bukit yang agak curam tetapi jalan tar masih terhidang dihadapan yang mana amat selesa untuk aku memecut sekali sekala.


Selepas hampir 2 jam menunggang dan cover jarak lebih kurang 60 km, aku berhenti rehat seketika di pekan Banglung.  Di Nepal kebanyakan warga mereka boleh berbahasa Inggeris sekurang kurangnya perkataan – perkataan basic. Tengah minum disebuah kedai runcit, ada konduktor bas ni datang menyapa. Bertambah ramah lepas dapat tahu aku orang Malaysia.

Di sini nama Malaysia amat dikenali dikalangan warga mereka kerana kalau bukan mereka yang pernah berpengalaman bekerja di Malaysia, sekurang-kurangnya mesti ada saja sanak saudara mereka yang pernah atau sedang berada di Malaysia. Lepas borak serba sikit, mamat ni terus mintak duit sikit pada aku. Adeh. Gamaknya diaorang fikir orang Malaysia aja mesti kaya kot. Aku malas melayan.



Perhentian aku betul-betul di persimpangan jalan ke Gaundakot dan ke Beni. Aku perlu ambik simpang ke kanan dimana membawa aku menyusuri jalan Maaldhunga - Beni Sadhak. Bermula dari sini, laluan perjalanan adalah menyusuri tebing sungai Kali Gandaki, salah satu Sungai utama di Nepal. Jalan tar standard kampung yang selama ini menjadi peneman sudah hilang sepenuhnya diganti dengan laluan off road.



Aku agak "excited" sebenarnya untuk meredah laluan "off road" ni yang membuatkan diri terasa menjalani pengembaraan yang sebenar. Sebelum ni aku selalu melihat dengan jeles di Instagram para rider dari luar yang ber off road sana sini. Bukan nak kata Malaysia tiada jalan offroad, cuma susah nak jumpa Alhamdulillah berkat kemajuan negara kita dan ditambah suasana hutan kita tidak sama dengan suasana membelah Banjaran Himalaya.


Walaupun laluan berada ditengah hutan, sekali sekala aku berselisih juga dengan kenderaan lain walaupun ada masa agak lama aku tak nampak kelibat kenderaan. Lebih kurang setiap 10-20km aku akan melalui perkampungan atau pekan kecil. Jadi tak la terlalu risau. Cuma terfikir juga bagaimana sekiranya motor aku rosak di kawasan pendalaman ni. Mintak simpang.

Aku sebenarnya tidak menjangkakan yang suasana di sini panas sekali. Tak ubah seperti cuaca di Malaysia walaupun dikelilingi hutan dan sekali sekala ternampak puncak Gunung Annapurna yang bersalji tu. Batuan dijalan nampak biasa jika diperhatikan tetapi sebenarnya agak "loose" dimana tayar mudah tergelincir jika tidak berhati hati. Kelajuan usah cakap, 20kmh pun susah nak cecah dan aku hanya menggunakan gear 1 dan gear 2 sahaja. Baru aku tahu erti "off road" sebenar.

Sewaktu melalui sebuah pekan kecil, aku melihat sebuah pondok bit yang tertera notis "permit checking". Tiada sekatan yang dibuat namun mengingatkan akan permit ACAP aku, maka aku pun berhenti. Terdapat seorang wanita didalam pondok bit kecil itu yang beroperasi sebagai pejabat. Aku pun mengeluarkan permit ACAP aku untuk diperiksa. Sewaktu diperiksa, wanita tersebut mengatakan yang dia nak tengok permit TIMS (Trekking Information Management System ). Permit TIMS adalah permit kepada mereka yang nak trekking di mana-mana kawasan di Nepal.

Aku pun menjelaskan yang aku menunggang motosikal dan bukan hendak trekking, malah tidak langsung menggunakan laluan trekking yang biasa digunakan pendaki untuk ke Annapurna Base Camp (ABC). Namun wanita tersebut tetap menyatakan yang aku masih perlu mempunyai TIMS card yang beharga Rs2000 (hampir RM80). Wanita itu menelefon seseorang sebelum memberitahu yang TIMS card dipondoknya sudah habis dan aku boleh membelinya ketik perjalanan pulang nanti. Selepas mencatat nama dan butiran passport aku, aku pun meneruskan perjalanan.



Memandangkan hanya nampak ada satu jalan aja disini, maka aku hanya selalu terus sahaja walaupun  kadang-kadang ada persimpangan kecil sehingga ada satu ketika kerana selalu ikut jalan yang lurus, aku tersesat masuk ke sebuah loji janakuasa hidro yang dalam pembinaan. Kelihatan para pekerja memerhatikan aku dengan penuh kehairanan. Nasib baik ada yang boleh berbahasa Inggeris, mereka menunjukkan aku jalan sebenar. Rupanya aku terlepas satu persimpangan dimana aku perlu cross sebuah jambatan. Nasib tak jauh.

Selepas hampir 5 jam menunggang laluan offroad  dan ditambah cuaca yang panas, mental aku dah mula nak koyak. Aku mula terfikir samada berbaloi atau tidak perjalanan menuju ke Lower Mustang ni. Aku mula terfikir samada mungkinkah laluan disepanjang perjalanan ini hanyalah sebegini semata mata. Aku terbayang 80km laluan offroad yang masih berbaki untuk aku tempuhi. Berbaloikah semua ini. Atau aku patut berpatah balik dan mengambil plan B, meneroka selatan Nepal. Aku agak down time ni.



Sewaktu menunggang dalam keadaan penuh persoalan bermain di minda tu, aku tiba tiba terdengar satu tiupan wisel. Ketika itu aku sedang melalui satu perkampungan kecil. Aku cuba amati kalau aku silap dengar sebab aku tengah pakai earphone ketika itu. Kebetulan ada seorang pak cik tua berjalan disebelah aku, pak cik itu tunjukkan pada aku yang Polis di pondok bit meniup wisel memanggil aku.

Ahh..sudah. Aku terfikir juga kenapa tiba-tiba aku dipanggil. Aku pun berpatah balik ke pondok bit yang terletak kira-kira 20 meter dibelakang. Terdapat 2 orang polis di pondok itu. Mereka bertanya aku hendak ke mana dan asal dari mana. Katanya mereka perlu mencatatkan rekod sesiapa yang melalui pondok bit mereka. Kami berborak lebih kurang 10 minit sebelum aku meneruskan perjalanan.

Selepas berborak dengan kedua-dua abang Polis tu, aku terasa kembali ceria dan bersemangat. Aku rasa, perjalanan solo seorang diri tanpa penemanan untuk berborak dan kurang berhenti merehatkan diri membuatkan aku stress. Lagipun perjalanan yang aku harungi ni diciplak dari web tour guide bermotosikal ke Lower Mustang tetapi bezanya mereka lakukan trip sebegini dalam tempoh masa seminggu berbeza dengan aku yang memperuntukan hanya 5 hari. Jadi banyak jarak yang aku perlu kejar dan sekarang baru aku tahu kenapa trip ni patut memakan masa seminggu walaupun jarak kelihatan tak begitu jauh didalam google map.

Dalam keadaan bersemangat kembali, aku bertekad untuk sampai ke Lower Mustang seperti mana tujuan asal aku kesini. Aku batalkan niat asal untuk berlabuh dan meneruskan perjalanan. Sebenarnya aku plan untuk trip hari ini sekadar berhenti di Tatopani namun rupa-rupanya aku sudah jauh melepasi pekan Tatopani.

Tq abang polis 
Jam menunjukkan waktu pukul 5.00 petang dan hari pun sudah makin gelap. Disini matahari terbenam kira-kira pukul 6.00 petang. Memandangkan hari sudah lewat petang dan aku pun belum solat zuhur jamak asar maka aku berdoa moga-moga ditemukan dengan tempat untuk berlabuh yang selesa memandangkan sepanjang perjalanan, kebanyakan guesthouse tampak uzur. Seperti dijanjikan Allah, doa orang bermusafir akan mudah termakbul, aku dipertemukan dengan Kalopani Guesthouse.





# bercuti di nepal 2017 # bercuti di nepal # pengembaraan di nepal # percutian ke nepal # cuti cuti nepal # sewa motor nepal # tips ke nepal
Share:

01 May 2018

Redah 2.0 : Indonesia ( Aceh - Medan - Jakarta - Bandung - Yogyakarta ) Day 11

Lebih kurang pukul 3 pagi, aku terjaga dengan rasa tak sedap perut dan loya. Aku cuba tidur semula tapi rasa serba tak kena. Pusing kiri tak kena, pusing kanan pun tak kena. Dalam ketidakselesaan aku masuk ke toilet dan muntah. Tak lama kemudian sakit perut pula datang. Aku pasti apa yang aku takutkan selama ini menjadi kenyataan, sah aku keracunan makanan. Ingatkan nak keracunan dari makanan di warung tapi akhirnya kecundang dengan maggi dan tin sardin yang tak dimasak sempurna.

Pada pagi hari aku memang sudah hilang selera makan. Badan rasa lemah dan tak bermaya. Masuk jamban sejak semalam usah cakap, sudah tak terkira. Muntah lagi. Kiranya segalanya keluar dari atas dan bawah. Jam 9.00 pagi, staff Surya Darma Homestay, bro Fardi ketuk pintu aku untuk beri sarapan nasi. Aku hanya ambil walaupun takda langsung selera nak makan. 

Pertama kali aku sakit dalam keadaan berjauhan dari keluarga, dibumi asing pulak. Sedih tu ada la jugak tapi nak kata terlalu bimbang tu takda la sangat sebab aku memang ada ambil travel insurans. Jadi kalau kena admit wad pun sekurang kurangnya boleh claim.

Hari ni seharian aku berkurung dalam bilik. Mengkrekot atas katil dalam bilik yang dibiarkan gelap sambil layan internet. Terkilan jugak aku sebab tak dapat nak explore Jogja seperti yang dirancang. Tetapi nasib baik juga aku memang dah bajetkan masa rehat sehari disini. Macam tahu tahu aja. Bro Fardi kelihatan terkejut melihat aku masih dibilik pada tengahari tu. Lagi dia hairan bila makanan dalam pinggan aku tak jamah. Aku sekadar berkata yang aku tak sihat,Bosan bukan kepalang terperap dalam bilik dalam keadaan tak bermaya. Nak keluar memang tak boleh sebab aku kerja nak ke toilet. 

Pada sebelah petang aku rasa sedikit sihat selepas berendam dalam kolah mandi. Sebenarnya tu kolah untuk cebok air, tapi besar sampai muat untuk aku masuk. Jadi untuk legakan badan yang tak bermaya ni aku masuk sekali dalam kolah. Memandangkan dah sihat sikit, aku ambil keputusan untuk menapak ke IndoMaret tempat aku beli sardin tin dan maggi semalam. Aku masih tak berselera nak makan tapi aku gagahkan beli roti dan air minuman tenaga. Selain tu nasib baik disini juga ada jual ubat cirit birit yang dipanggil ubat mencret. haha.Sahih mencret datang dari bunyi cret time berak cirit.

Surya Dharma Homestay

Indomaret berdekatan


Balik bilik sambung terperap. Memang betul-betul rest day hari ini.




Share:

21 April 2018

Redah 2.0 : Indonesia ( Aceh - Medan - Jakarta - Bandung - Yogyakarta ) Day 10

*Selagi tak habis menulis secara lengkap siri perjalan Redah aku, memang tak terasa tenang hidup. Haha. Jadi aku cuba habiskan juga kisah triptrip aku bermula dengan trip Redah 2 pada Oktober 2014 lepas. Penceritaan adalah berdasar daya ingatan dan nota. Yang sedihnya, laptop aku terpaksa diformat baru-baru ni maka kebanyakan gambar trip Redah 1 dan Redah 2 aku dah hilang. Yang ada hanyalah gambar yang telah dimuat naik ke Instagram*

Hari ini aku bangun awal untuk naik train jam 8.40 pagi yang akan bertolak ke Yogyakarta. Ikutkan aku nak menapak aja ke stesen yang tak seberapa jauh tapi memandangkan beg aku dah bertambah berat hasil shopping sakan di Bandung, maka tahan aja teksi bluebird.

Berdasarkan pengalaman menaiki train dari Jakarta ke Bandung tempoh hari, aku jangka kan aku akan mengalami pengalaman yang sama dimana train yang baru, selesa dan empuk tetapi agak meleset sama sekali kerana train yang aku naiki ni kelihatan agak usang. Sempat jugak berborak dengan brader sebelah bertanyakan kenapa train kelas 1 yang aku naik dari Jakarta ke Bandung tempoh hari lebih baik dari train kelas 1 Bandung ke Yogyakarta. Katanya tu train baru dan baru ada beberapa train yang menggunakan gerabak baru. Selebihnya begini aja mas. Begitulah kayaknya.


Bye Bandung


Perjalanan dari Bandung ke Yogyakarta mengambil masa lebih kurang 7 jam. Dalam perjalanan aku hanya menikmati pemandangan kawasan perkampungan. Bila dah jemu, aku pergi pula melepak di gerabak kantin. Dalam gerabak kantin memang awesome kerana dapat menikmati minuman di meja bar sambil melayan pemandangan di luar.

Best cafe in the world

Aku sampai di Yogyakarta lebih kurang pukul 4 petang. Setiba di stesen, aku terus mengambil teksi ke tempat penginapan aku disini iaitu Surya Darma Homestay. Yogyakarta merupakan destinasi terakhir aku bagi trip Redah 2 ini. Aku akan berada disini selama 3 hari sebelum pulang ke KL. Alhamdulillah homestay yang aku tempah ini agak selesa tapi aku tak pasti samada ada pengunjung lain atau tidak sebab seakan sunyi. Lepas check ini aku terus berehat selepas separuh hari didalam train.

Pada sebelah malam, perut dah mula berkeroncong tetapi aku tak pasti berapa jauh untuk menapak demi mencari sesuap nasi. Aku ada perasan kedai serbaneka IndoMaret dihadapan jalan masuk kawasan homestay tadi, jadi aku mengambil keputusan untuk menapak aja ke sana menapau maggi dan setin sardin. Di homestay ni tiada tersedia dapur yang ada hanya mesin pemanas air di ruang tamu, jadi aku hanya dinner maggi cup beserta sardin tin untuk malam ni.
Share: